DUA dekad mencipta nama, Armada Band menyifatkan 2024 sebagai tahun terbaik untuk tampil dengan buah tangan baharu bagi mengubat kerinduan peminat yang sudah lama dahagakan karya terkini kumpulan itu.
Gitarisnya, Andika Maihendra atau Mai berkata, kali terakhir mereka menerbitkan album adalah pada 2021 berjudul Kita Bersaudara.
“Dari dahulu kami sangat mentitikberatkan penghasilan album. Boleh dikatakan kami antara band Indonesia yang aktif menghasilkan album.
“Beberapa tahun sebelum ini seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 dan itu bukan masa sesuai untuk menerbitkan album baharu
“Bagaimanapun kami berjaya melancarkan album Kita Bersaudara ketika pandemik.
“Selepas tiga tahun, 2024 dilihat masa sesuai menghadiahkan karya terbaharu Armada kepada peminat di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya pada sidang medi virtual Konset Armada – Janji Bahagia baru-baru ini.
Turut hadir dalam sidang media itu vokalis Armada Band, Rizal Adi; pemain drum, Meri Yand atau Andit; wakil Empire Live, Ganjar Tribowo dan penganjur yang juga selebriti, Harris Baba.
Konsert sulung Armada Band di Sabah akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 4 November depan.
Lebih istimewa, band yang popular dengan lagu Pergi Pagi Pulang Pagi itu merancang menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu berhantu mereka.
Ditanya sama ada akan berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia untuk pembikinan album terbaharu nanti, Rizal Adi berkata, mereka sentiasa terbuka menjalin kerjasama.
Bagaimanapun, banyak perkara harus diteliti termasuklah soal masa, pemilihan material dan rakan duet bersesuaian. – HIBGLAM