DALAM kebingitan dunia yang sering mengejar ketenangan, ada satu amalan ringkas, namun mempunyai penawar yang cukup ampuh buat jiwa yang resah iaitu selawat ke atas Nabi Muhammad.
Lebih daripada sekadar bacaan rutin atau bait-bait zikir di bibir, selawat merupakan jambatan kasih yang menghubungkan setiap sanubari seorang hamba terus kepada Rasulullah.
Bagi menyemarakkan lagi selawat ke atas Nabi, penyanyi Hafiz Hamidun tampil dengan album terbaharunya berjudul Salawat The Beloved yang menghimpunkan selawat dengan nafas baharu.
Sebanyak 10 selawat yang dipilih seperti Ishafa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibrail, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghil dan Ya Nabi Salam Alaik.
Mengulas mengenai penghasilan album berkenaan, Hafiz mengakui naskhah terbaharu ini sangat dekat di hatinya berbanding karya-karya yang pernah diterbitkan sebelum ini.
“Album ini sesuatu yang peribadi. Biasanya saya buat album akan ambil setiap satu daripada repertoire, kita buat melodi lain.
“Tapi untuk album ini, semuanya saya cuba untuk kekalkan keaslian kecuali lagu Cinta Rasul.
Saya cuba bawakan supaya lebih ramai lagi dapat sama-sama berselawat. Itu motif saya,” katanya kepada HibGlam.
Bukan itu sahaja, proses pemilihan lagu turut melalui perbincangan mendalam sebelum membuat keputusan untuk menjalani penggambaran visual di luar negara.
“Pada awalnya kita pilih lebih daripada 20 lagu sampai kita kata patut pisahkan menjadi dua album sebab selawat ini banyak.
“Pada akhirnya sepanjang proses, kami fikir 10 lagu dah baik. Tujuh karya kami buat di Uzbekistan.
“Saya punya inspirasi dan visual tentang album ini nak cari satu lokasi saya sendiri tak pernah pergi atau kita jarang tengok,” ujarnya.
Hasrat penyanyi berusia 42 tahun itu tidak hanya terhenti untuk pasaran domestik, sebaliknya dia menyasarkan impak karya ini sehingga ke peringkat global termasuk memenuhi permintaan peminat yang mahukan versi acapella.
“Sebenarnya bila kita sebut fasal selawat memang semestinya sasaran kita bukan hanya nak pasarkan kat Malaysia saja tapi juga di seluruh dunia.
“Memang ada permintaan untuk album yang versi tak ada muzik dari Uzbekistan pun ada yang memilih begitu.
Jadi, insya-Allah selepas ini saya kata saya akan fokus untuk masuk balik ke studio untuk selesaikan versi album ini yang tanpa muzik. Mungkin kita akan keluar seawal-awalnya sebelum Ramadan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hafiz meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan label antarabangsa untuk menjayakan projek berteraskan keagamaan ini.
“Saya sebenarnya lebih bersyukur apabila sebuah syarikat rakaman macam Sony Music sanggup memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk terbitkan ini.
“Jarang sebenarnya bila kita sebut syarikat-syarikat rakaman antarabangsa ini, mereka lebih selektiflah terutama bila bab agama, dia kalau boleh akan tak jadikan itu sebagai keutamaan.
“Tapi saya ada visi yang jelas, mereka faham dan tahu apa yang saya nak berikan dan ini yang saya cuba hasilkan dengan kematangan yang saya ada dalam bidang ini selama 25 tahun.
Saya tahu ke mana pendengar saya, apa yang mereka mahukan,” tutup beliau.
