KECOH tentang isu poligami dalam media sosial, pelakon Kamal Adli menegaskan bahawa isterinya, Uqasha Senrose sudah lebih daripada mencukupi buat dirinya.
Jelas Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, dia tidak memerlukan kasih sayang wanita lain memandangkan kehadiran teman hidupnya itu sudah membahagiakan selain mereka saling melengkapi.
“Satu sudah cukup, kenapa mahu pasang dua, tiga dan empat? Satu ini pun dah membahagiakan. Cukup satu ini untuk dihargai, dicintai, disayangi, digaduhi dan dimanjai.
“Nak berlawan pantun pun dekat seorang saja, tak payah ada dua atau tiga. Insya-Allah,” kata Kamal menerusi siaran langsung dalam TikTok, baru-baru ini.
Pada masa sama, Uqasha yang turut di sisinya ketika itu meminta Kamal tidak memberi ulasan berlebihan bimbang kata-kata itu berbalik kepada mereka.
“Tidak mengapalah, itu kehidupan orang, biarlah mereka. Kita diam sahaja, jangan cakap besar. Takut tiba-tiba Allah uji, bimbang semua itu berbalik pada kita,” tegas aktres tersebut.
Melihat riak wajah isterinya berubah, Kamal segera menjelaskan, dia sekadar menjawab pertanyaan netizen yang mengaitkan kontroversi seorang pempengaruh yang berkahwin dua.
“Sebenarnya saya tak tahu langsung kes pempengaruh itu. Muka dia dan isterinya pun saya tidak tahu, tetapi saya jawab soalan awak semua (netizen) ikut pandangan saya, tidak lebih dari itu,” tuturnya.
Kamal dan Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen mendirikan rumahtangga pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.