SELEPAS tiga bulan melahirkan zuriat kedua yang dikalung nama Shakil Aryan Shah, pelakon jelita Emma Maembong memutuskan untuk kembali bekerja.
Namun, naluri ibu yang tebal rasa rindu dan mahu sentiasa dekat dengan kedua-dua permata hatinya membuatkan wanita berdarah kacukan Melayu-Scottish itu tidak betah berjauhan lama dengan keluarga tercinta.
“Saya memang tidak boleh berjauhan dengan Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah. Sebab itu walaupun sesibuk mana, saya mahu mereka sentiasa ada dengan saya.
“Jadi salah satu cara, saya akan bawa anak-anak, suami dan seorang pembantu ke set penggambaran. Saya rasa lebih gembira dan bersemangat untuk bekerja jika mereka ada bersama,” katanya yang berkahwin dengan Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020.
Ujar pemilik nama lengkap Fatimah Rohani Ismail itu lagi, dia beryukur apabila pihak produksi faham dengan situasi tersebut dan tidak pernah menghalangnya untuk membawa bersama keluarga ke lokasi penggambaran.
“Saya bersyukur kerana pihak produksi faham dan tidak pernah menghalang saya untuk membawa bersama keluarga saya.
“Malah, mereka (produksi) juga tidak pernah berkira atau menolak permintaan jika saya minta disediakan bilik besar untuk kami sekeluarga.
“Sekiranya tiada peruntukan (bajet), saya pun tidak kisah untuk keluarkan belanja sendiri, asalkan suami dan anak-anak ada di depan mata saya,” ujarnya.
Bukan tidak pernah cuba berjauhan dengan keluarga ketika bekerja, namun keadaan itu akhirnya membuatkan jiwanya terseksa.
Kata Emma, sebelum ini dia pernah menjalani penggambaran sebuah drama di Kelantan dan terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak di rumah. Namun, dia tidak dapat menahan perasaan rindu sehingga menangis mengenangkan keluarga.
“Pernah jalani penggambaran di Kelantan dan tidak membawa keluarga bersama. Perasaan rindu sangat membuak-buak sehinggakan saya menangis kerana teringatkan mereka.
“Kesudahannya, saya telefon suami, minta dia bawa anak-anak dan pembantu ke Kelantan untuk bersama saya sehingga habis penggambaran,” katanya seraya ketawa.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.