Hubungan toksik ada di mana-mana – Siti Nordiana

LEBIH dua dekad berkongsi bakat seawal usia 15 tahun, kembara seni Siti Nordiana terlakar indah.

Daripada hanya menyampaikan nukilan komposer sedia ada, kini penyanyi berusia 38 tahun itu mampu menghasilkan lagu sendiri sebagai dendangan.

Begitupun, untuk single baharu genre pop balada Arah Cinta, Siti Nordiana yang mesra membahasakan diri meletakkan kepercayaan kepada Ikhwan Fatanna untuk mencanai seleksi galau tersebut.

Arah Cinta ciptaan Ikhwan Fatanna menguji kemampuan vokal Siti Nordiana.

Katanya, selepas kejayaan Terus Mencintai dan Hatiku Milikmu, kali ini dia ingin menyampaikan semula bingkisan lagu daripada pencipta yang pernah bekerjasama dengannya.

“Saya pernah membawakan lagu Ikhwan dan kali ini kami kembali bersatu menerusi lagu Arah Cinta yang diilhamkan berdasarkan kisah perhubungan toksik.

Jadi Ikhwan terjemahkan kisah itu, manakala saya pula menghayati patah seni kata dengan membayangkan situasi tersebut berlaku di sekeliling saya.

“Memang perhubungan toksik itu ada di persekitaran kita, sekali gus dengan membayangkan kejadian sebenar saya dapat menjiwai dendangan ini,” katanya mengenai lagu ciptaan sepenuhnya Ikhwan itu.

Berkongsi lanjut mengenai Arah Cinta, juara Gegar Vaganza musim kedua itu mengakui melodi melankolik memberi cabaran tersendiri, selain menguji kemampuan vokalnya.

“Keunikan single kali ini tentu sahaja memberi cabaran berbeza terutama dalam menguji kebolehan vokal saya.

Mungkin sudah lama orang tak mendengar saya menyampaikan dendangan ‘power ballad’, untuk Arah Cinta ini, Ikhwan letakkan elemen dinamik untuk bahagian melodinya.

“Membawakan fasa lembut ke bahagian padu yang tentunya mencabar saya untuk memberikan sepenuh tenaga bagi memastikan melodi indah ini disampaikan dengan baik,” ulasnya.

Arah Cinta terbitan Seventeen Eleven Music dilancarkan pada 4 Ogos lalu meraih perhatian peminat muzik apabila menduduki tangga nombor satu carta iTunes.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok