Awet muda cara Adeline Tsen

BIARPUN usia pelakon Adeline Tsen sudah menjangkau angka 37 tahun, dia masih kekal langsing dan jelita seperti dahulu.

Kesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Adeline yang juga seorang pempengaruh media sosial berkongsi tips kesihatan dan kecantikan yang diamalkan.

ADELINE menekankan pemakanan seimbang.

Makanan seimbang

Menurut pelakon kelahiran Kota Belud, Sabah itu, dia mengamalkan pemakanan yang seimbang sejak dahulu lagi.

Meskipun ada kalanya dia akan berdiet, tetapi tetap mengambil garam dan gula secara sederhana.

Pesannya, kalau boleh daripada muda perlu jaga pemakanan. Jika tidak, sukar untuk kekalkan kesihatan apabila usia meningkat.

Berjalan kaki

Selain bersenam di gim, Adeline menjadikan aktiviti berjalan kali sebagai rutin.  Tiada duit atau tiada masa bukan alasan untuk tidak bersenam.

Jadual Adeline yang sibuk dan selalu ke luar negara sebagai pencipta kandungan tidak menghalangnya untuk melakukan aktiviti itu.

SELAIN menjaga pemakanan, Adeline suka bersenam dan berjalan kaki.

Jika berada di luar negara, Adeline memilih untuk berjalan kaki daripada menaiki teksi jika tempat yang dijuk tidak jauh daripada tempat tinggalnya.

“Semua orang boleh berjalan kaki, tidak perlukan duit atau peralatan yang mahal-mahal. Sambil melancong pun boleh bersenam dengan berjalan kaki.

“Ini kerana berjalan kaki akan membakar lemak lebih cepat di bahagian pinggang ke bawah. Jadi, siapa yang ada perut buncit atau mahu kuruskan paha boleh mengamalkan senaman berjalan kaki,” katanya.

Sauna Inframerah

Bagi mengekalkan keremajaan kulit dan membuang toksin daripada tubuh badan Adeline akan menggunakan sauna infrared dalam lima kali seminggu.

Kata Adeline, sauna infrared berbeza daripada sauna wap kerana menggunakan cahaya lampu untuk memulihkan masalah kulit seperti jerawat dan membuang toksin.

“Saya suka menggunakan sauna inframerah. Selain bagus untuk kulis,  badan juga akan rasa lebih sihat,” katanya.

ADELINE sentiasa berfikiran positif dan menikmati kehidupan meski ada ketika berdepan tekanan.

Gembira

Bagi kekal awet muda, salah satu petuanya adalah sentiasa gembira dan elak berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya berdepan sebarang tekanan lihatlah dari sudut positif.

“Ini antara sebab mengapa saya semakin serius mencipta nama sebagai pempengaruh media sosial. Pekerjaan ini buat saya rasa gembira,” jelasnya.

Kata Adeline, melancong ke luar negara dan melihat budaya negara lain sangat menyeronokkan hingga tidak terasa sedang bekerja.

Minum banyak air putih

Selain itu Adeline turut mengamalkan minum air putih dan menggurangkan pengambilan air manis.

“Diakui saya dahulu bukanlah penggemar minum air putih, tetapi semakin meningkat usia saya nampak kesannya.

“Badan terasa cepat penat dan kulit agak kusam. Jika mahu kesihatan yang baik dan kulit wajah yang cantik sila banyakkan minum air putih,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok