BUAT julung kali kumpulan popular Indonesia, Armada Band bakal diterbangkan ke Sabah bagi merealisasikan Konsert Armada Janji Bahagia pada 4 November depan.
Penyanyi yang juga Pengurus Projek Jeeharris Corporation selaku penganjur, Harris Baba berkata, konsert sulung di bawah syarikatnya itu adalah untuk memenuhi permintaan peminat di negeri di bawah bayu serta kawasan sekitar.
“Konsert ini merupakan projek pertama saya bersama isteri, Nik Naziha Zawawi di bawah syarikat Jeeharris Corporation yang memfokuskan kepada pengurusan acara dan konsert.
Selepas kejayaan pelbagai acara karnival di Sabah, kami meneruskan misi menganjurkan konsert dengan memilih Armada Band bersandarkan populariti dan permintaan ramai.
“Mereka antara penghibur popular Indonesia yang mempunyai ramai peminat di sini, malah lagu mereka sering menjadi siulan,” katanya.
Kumpulan yang popular dengan lagu Asal Kau Bahagia itu ditunjangi Rizal Adi selaku vokalis, Meri Yandi (dram) dan Andika Maihendra (gitar).
Pada persembahan mega berdurasi dua jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah itu nanti, mereka dijangka menyampaikan 18 buah dendangan.
Antara katalog hits yang bakal dipersembahkan termasuk Bebaskan Diriku, Penantian, Pagi Pulang Pagi, Satu Hati Sejuta Cinta serta Hargai Aku.
Menurut Harris lagi, selain Armada Band, menyusul selepas ini perancangan membawa masuk beberapa penghibur popular lain untuk beraksi di Sabah, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai hub konsert mega di Borneo.
“Kami akan membawa lebih ramai lagi artis luar negara bagi menjayakan persembahan di Sabah yang turut menarik peminat Sarawak dan Brunei.
“Kami berharap usaha ini mendapat sokongan ramai, seterusnya memeriahkan lagi aktiviti pelancongan menerusi penganjuran lebih banyak persembahan konsert secara langsung.
“Misi ini antara lain menjadikan konsert sebagai satu tarikan untuk penduduk dari Labuan, Sarawak dan Brunei datang menyaksikan persembahan Armada Band,” kongsi penyanyi yang turut bergelar pelakon itu.
Tambah Harris, sebagai pelengkap pihaknya turut meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk beraksi sebagai pembuka persembahan pada konsert sulung itu nanti.
Tiket untuk menonton konsert dijual di www.myticket.asia sejak 24 Julai lalu pada harga bermula RM129 sehingga RM799 untuk sesi bertemu artis. – HIBGLAM