PETALING JAYA – Bukan lagi anak seni yang cari makan dalam industri hiburan tempatan bahkan sudah berhijrah ke Amerika, pelakon berdarah Inggeris, Sarah Hildebrand tetap dalam radar netizen.
Terbaharu, wanita berusia 32 tahun itu bagai sengaja mengundang kecaman apabila berani berkongsi foto dirinya yang hanya mengenakan seluar dalam dan bercoli dalam laman Instagram miliknya.
“Saya akan kembali dalam masa sebulan atau lebih,” tulisnya sebagai kapsyen.
Tidak menutup ruangan komen pada foto yang dimuat naik tersebut, onarnya itu lantas mengundang pelbagai kecaman pengguna media sosial.
Terdapat segelintir peminat yang terkejut dengan tindakan beraninya, malah ada juga yang tampil menitip nasihat agar diberi kesedaran dan hidayah.
“Kesian macam sudah jauh terpesong daripada landasan sebagai seorang Muslim, terkejut tapi tidak terlalu terkejut.
“Entah apa yang mahu dibuktikan, hanya sekadar mengundang murka Allah,” komen seorang peminat.
“Tiada kata, moga Allah kurniakan kesedaran dan hidayah, percayalah dunia ini sementara, kita wanita, mulia tempatnya, jangan pula awak rendahkan martabat wanita dengan berpakaian sebegini,” komen seorang lagi netizen.
Terdahulu, pelakon jelita yang cukup dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu mengumumkan sudah bersara daripada industri seni hiburan tanah air.
Malah, dia tetap dengan pendiriannya bahawa tidak lagi bersedia menerima sebarang tawaran berlakon mahupun pengacaraan.
Selepas tujuh tahun bergelar pelakon, Sarah nekad meninggalkan Malaysia dan berhijrah ke Amerika Syarikat kerana tidak tahan dengan pelbagai kecaman bertalu sehingga ada yang menggelarnya sebagai perempuan sundal.
Ketika itu dia turut meminta netizen jangan menyibuk urusannya kerana dia bukan lagi artis.– HIBGLAM