PIHAK berkuasa Australia melancarkan siasatan berhubung dakwaan pelakon Ruby Rose diserang penyanyi Katy Perry secara seksual pada 2010.
Dakwaan itu dikongsikan pelakon filem Pitch Perfect 2 itu di media sosial dengan menyatakan insiden berkenaan berlaku di sebuah kelab malam di Melbourne.
Polis Victoria mengesahkan Pasukan Siasatan Kesalahan Seksual dan Penderaan Kanak-Kanak Melbourne (SOCIT) menjalankan siasatan namun enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, wakil kepada Perry menafikan dakwaan yang dibuat Rose selain menyifatkannya sebagai pembohongan berbahaya.
Kenyataan rasmi kepada media menyebut sejarah masa lalu pengadu juga kurang baik iaitu dikatakan kerap membuat tuduhan melulu.
Setakat ini, wakil kedua-dua pihak belum memberikan sebarang maklum balas lanjut berhubung perkembangan siasatan.
Terdahulu, Rose, 40, aktres asal Australia membuat tuduhan itu ketika membalas satu artikel mengenai Perry yang dimuat naik majalah Complex di media sosial.
Artikel tersebut melaporkan reaksi tular Perry terhadap persembahan Justin Bieber dalam festival muzik Coachella yang turut dihadirinya bersama bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Menerusi hantaran yang sudah dipadam, Rose, 40, mendakwa dirinya diserang Perry secara seksual di sebuah kelab malam di Melbourne.
Katy Perry melakukan serangan seksual terhadap saya dalam kelab malam yang terletak di sebuah kawasan perniagaan di Melbourne,” dakwanya.
Bercerita lanjut di beberapa hantaran susulan Threads, Rose mendakwa Perry melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya ketika dia cuba mengelak daripada penyanyi tersebut.
Menurutnya, ketika sedang berbaring di riba seorang rakan, Perry didakwa menghampiri dan bertindak menyapu seluar dalam yang dibuka ke wajahnya.
Tindakan mengejutkan penyanyi terbabit membuatkan Rose tergamam dan muntah.
Pada awalnya, Rose memaklumkan enggan mengajukan laporan polis, tetapi berubah pada selasa lalu tanpa memberikan sebab tertentu.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi memenuhi permintaan standard pihak polis selain memberi ruang untuknya memulakan proses pemulihan.
Perry, 41 tahun pula memenuhi komitmen terhadap kerjaya seninya dan pada masa sama menyerahkan isu tersebut kepada syarikat pengurusan serta peguamnya.
Keputusan untuk tidak mengulas dakwaan tersebut secara peribadi dipercayai sebagai cara untuk mengelakkan lebih banyak spekulasi liar bertebaran.
Dalam perkembangan lain, bekas pengurus kelab Spice Market yang tidak lagi beroperasi mendedahkan kepada Herald Sun menyatakan tidak melihat insiden berkenaan tetapi yakin Ruby dan Katy mengambil minuman keras yang banyak. – HIBGLAM
