SEDARI awal kemunculan sehinggalah hari ini, namanya tidak pernah pudar dalam industri seni lakon tanah air. Biar bersilih ganti bakat muda hadir sebagai hero pelapis, Faizal Hussein punya tempat yang cukup istimewa di hati pengikut setianya.
Bijak menjaga nilai eksklusif, itulah rahsia bagaimana figura hebat ini mampu bertahan selama ini.
Ujar Faizal, bukan ingin angkuh dengan gelaran pelakon senior yang dipegang, dia hanya ingin memastikan hasil kerjanya dinilai berdasarkan kualiti diberi, bukannya kuantiti naskhah dijayakan.
Nilai eksklusif tersebut yang mampu membezakan darjat seorang anak seni dalam industri hiburan tanah air.
Perbezaan itu dapat dilihat berdasarkan jenis watak, filem mahupun drama termasuk jumlah bayaran yang ditawarkan kepada seseorang pelakon.
Tutur aktor yang terkenal menerusi filem Gila-Gila Remaja itu, aspek bayaran antara yang menjadi keutamaannya ketika ini memandangkan sudah lebih tiga dekad memahat nama sebagai pelakon.
Baginya, bayaran haruslah dibayar setimpal dengan kualiti lakonan dan ‘usia’ seseorang sebagai pelakon.
Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi melalui fasa menerima bayaran sedikit daripada mana-mana pihak produksi.
“Sebenarnya, kalau nak mengupas hal ini, sampai subuh pun tidak akan ada penamatnya.
“Sejujurnya banyak benda yang perlu dijaga dan dikawal untuk mencapai tahap seorang Faizal Hussein sekarang ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Selain itu, pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 berkenaan turut berpendapat penampilan juga memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang pelakon kekal dalam kerjayanya.
“Saya sedar diri sudah berusia cuma tidak suka bawa diri seperti orang tua.
Menjaga penampilan diri agar tidak nampak tua pada mata pihak produksi membuatkan saya dihujani dengan pelbagai watak yang boleh dimudakan jika jalan cerita memerlukan babak flashback. Itulah kelebihan yang saya ada ketika ini.
“Saya juga tidak cucuk sana sini untuk ubah atau ingin kelihatan muda dan hanya menjaga pemakanan serta kesihatan diri agar terus mampu untuk melakonkan aksi lasak sendiri,” ujarnya yang bakal muncul dengan siri W: Two Worlds adaptasi naskhah popular Korea Selatan.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://www.kosmo.com.my.