Lapan rockers otai taruhan konsert Semangat Zaman

ZEPP Kuala Lumpur bakal gegak gempita dengan persembahan hebat lapan vokalis rock legenda tanah air menerusi konsert Semangat Zaman Ulang Tahun ke-20 pada 29 September depan.

Meneliti senarai penyanyi, termasuklah Datuk Nash daripada kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Yantzen (Rusty Blade), Rahmad (Mega), Jatt (Black Dog Bone), Muss (May) dan Bandi (Amuk) sudah cukup menjanjikan persembahan bertenaga menjelang acara berkenaan kelak.

Konsert tersebut bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-20 album kompilasi Semangat Zaman yang diterbitkan pada tahun 2004 dan Semangat Zaman 2 (2005) yang diterbitkan komposer LY selepas menerima sambutan hebat daripada para peminat.

Selaku penganjur, komposer terkenal LY memberitahu tujuan utama menghimpunkan semua nama besra dalam muzik rock kerana ingin menyemarakkan genre tersebut dalam kalangan peminat tempatan.

“Setiap penyanyi yang menjayakan konsert ini memiliki kekuatan dan identiti tersendiri dalam persembahan mereka.

“Saya percaya, mereka mampu meninggalkan memori manis dan kepuasan kepada semua pembeli tiket konsert itu nanti,” kata LY dalam sidang akhbar acara tersebut baru-baru ini.

LY (tengah) terharu dapat menghimpunkan semua rockers hebat tanah air dalam konsert ini.

LY juga terharu dengan sokongan hebat yang diberikan barisan penyanyi yang terlibat, selain ukhuwah yang terjalin sesama mereka.

“Saya bermula sebagai komposer yang menghasilkan pelbagai jenis lagu rock. Genre ini sangat dekat di hati saya.

“Jadi, apabila berpeluang menghimpunkan semua penyanyi hebat ini ditambah dengan sokongan diberikan, memang rasa terharu,” ujarnya.

Selain itu, LY memberitahu penyanyi, Rahim Maarof merupakan artis pertama yang bersetuju untuk turut serta dalam konsert ini, namun disebabkan masalah kesihatan, Rahim terpaksa berehat sebelum kembali aktif dalam nyanyian.

Disebabkan hal tersebut, posisinya digantikan oleh Bandi yang mempunyai identiti hebat serta kelompok peminat sendiri.

“Album Semangat Zaman 1 yang diterbitkan pada 2004 menampilkan Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss, Rahmad Mega dan Joey BPR.

“Semangat Zaman 2 pada 2004 kekal dengan penyanyi sama, namun menampilkan ahli baharu iaitu Shamrin Fotograf dan Jatt Black Dog Bone. Bagi edisi kali ini, posisi Rahim digantikan oleh Bandi.

“Mengenai persediaan awal, konsert ini bakal dimeriahkan lagi dengan rakaman lima lagu baharu oleh Muss, Rahmad, Joey, Bandi, Yantzen, Jatt dan Nash,” katanya lagi.

BANDI menggantikan tempat Rahim Maarof yang terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, pemilik Semangat Zaman Music Entertainment iaitu Jean berkata, selain mahu mengembalikan kegemilangan lagu rock yang popular sekitar 1980-an, konsert berkenaan juga sebagai penghargaan terhadap penyanyi senior yang banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tanah air.

“Kami ingin memberi nafas baharu kepada lagu-lagu popular dan ingin membangkitkan kembali mood zaman kegemilangan muzik rock suatu ketika dulu.

“Kami juga akan menjemput keluarga Allahyarham Shamrin dan keluarga Rahim Maarof pada konsert itu nanti bagi menyalurkan sedikit sumbangan,” kongsinya.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut boleh mendapatkan tiket yang mula dijual secara atas talian pada 15 Julai lalu menerusi laman web www.bookmyshow.com.

Tiket dijual berharga RM208 bagi zon rock, RM328 (tempat duduk normal bernombor) dan RM388 (premium- tempat duduk bernombor).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok