Berkongsi keinginan hati yang paling dalam, pelakon Daiyan Trisha meluahkan hasrat untuk bernikah di depan Kaabah, Masjidil Haram, Mekah jika diizinkan Allah SWT.
Menggelarkan kiblat umat Islam tersebut sebagai ‘cinta hati’, Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 30, berharap agar Allah SWT memperkenankan doanya biarpun buat masa ini dia masih belum mempunyai teman istimewa.
“Cinta hati saya. Kalau ada rezeki nanti, nak nikah di sini. Ya Allah amin, permudahkanlah kalau ada rezeki.
“Masalahnya calon pun tak ada lagi, dah fikir nak nikah di mana,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam hantaran berupa beberapa keping gambar dan video dimuat naik, pelakon juga penyanyi itu berkongsi momen-momen menarik dan menakjubkan yang berlaku sepanjang dia berada di Tanah Suci.
Antaranya, dia mendapat sebuah bilik hotel dengan nombor bertuahnya iaitu 222.
“Nombor bilik saya. Sebenarnya bukan bilik ini yang saya dapat. Kami (dia dan ibunya) tak dapat akses bilik pertama yang diberikan pada awalnya.
“Tukar kad bilik dua kali dan bila dapat bilik baharu, ibu kata ini nombor saya, kelahiran semula,” ceritanya teruja.
Bahkan dalam perkongsian sebelum ini, pelakon drama Projek: High Council itu gagal menahan sebak apabila melalui pengalaman menakjubkan selepas hujan membasahi bumi ketika dia baru tiba di Mekah.
“Hujan lagi. Sepanjang saya di sini (Mekah), Dia turunkan hujan empat kali. Masa sampai, tawaf, malam terakhir di sini dan pagi terakhir sebelum tawaf wida. Keberkatan dalam keberkatan, syukur alhamdulillah,” ujarnya.
Sekitar awal bulan ini, Daiyan berkongsi keterujaan apabila dijemput menjadi tetamu Allah SWT ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah buat kali kedua.
Lebih manis, ini juga merupakan kali kedua pelakon itu menunaikan umrah pada bulan puasa seiring dengan niatnya untuk mengerjakan ibadah tersebut pada setiap Ramadan. – KOSMO! ONLINE