Noryn Aziz tinggalkan pentas GV10

HASRAT penyanyi Noryn Aziz untuk mara ke peringkat suku akhir All Star Gegar Vaganza (GV10) tidak kesampaian apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu kesembilan malam ini.

Menerusi konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Noryn meraih markah terendah iaitu 55.25 peratus selepas mendendangkan lagu Tegar bersama Dia Fadila nyanyian asal Datuk Seri Rossa.

“Terima kasih kepada Astro dan para juri.

“Saya harap akan pergi jauh tetapi rezeki sampai di sini sahaja,” katanya selepas diumumkan tersingkir.

Sementara itu, penyanyi Jaclyn Victor yang juga juara GV musim kesembilan muncul sebagai peserta yang menduduki tangga teratas selepas meraih markah tertinggi iaitu 82.88 peratus daripada tiga juri tetap.

Tempat kedua pada konsert minggu ini pula menjadi milik penyanyi Tomok dengan markah 77 peratus manakala juara GV musim keenam, Hady Mirza yang meraih 73.25 peratus berada di tangga ketiga.

Penyingkiran itu sekali gus menyaksikan Naqiu, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina dan Jaclyn Victor berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

Tidak ketinggalan, Siti Nordiana, Aliff Aziz dan Tomok juga layak meneruskan perjuangan.

Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani dan Ezad Lazim merupakan peserta terawal  meninggalkan pentas GV10.

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz.

Konsert GV10 diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok