‘Farid sangat profesional, teruskan penggambaran seperti biasa’

KEMELUT rumah tangga sekali lagi hangat diperkatakan, pelakon Farid Kamil tetap profesional dan komited menjalani penggambaran filem terbaharunya, Bisikan Dosa.

Tidak mencampuradukkan hal peribadi, pengarah filem tersebut, Faizul A. Rashid memuji sikap Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, yang langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi sepanjang bekerja.

“Dia sangat profesional dan tetap meneruskan penggambaran seperti biasa. Pada hari berita (perceraian) tersebar, dia ada di set penggambaran dan sangat okey.

Malah sehari sebelum khabar itu tersebar, dia ada bergelak ketawa di set. Itu satu perkara yang saya puji mengenai Farid, disiplinnya sangat baik dan profesional meskipun berhadapan masalah sendiri.

“Saya mengenali Farid sudah lama, sebelum menjayakan filem ini lagi, kami ada keluar bermain golf bersama anaknya, Diana juga ada dan semuanya okey,” katanya kepada HibGlam ketika kunjungan media ke lokasi filem berkenaan di Kuang, Selangor.

Tambah Faizul, aktor berkenaan juga teruja untuk menghabiskan tugas di lokasi dalam masa yang ditetapkan.

Dia tak pernah nak minta tangguh penggambaran. Malah setiap kali di lokasi dia sentiasa memberikan yang terbaik.

“Kita juga tidak boleh nak salahkan dia dalam situasi ini kerana setiap orang ada masalah tersendiri,” ujarnya.

Sejak Isnin lalu nama Farid kembali menjadi sebutan selepas isterinya iaitu aktres Diana Danielle kembali nekad untuk menfailkan cerai.

Difahamkan Farid berada di lokasi penggambaran tatkala Diana meluahkan hasrat tersebut menerusi satu hantaran di sosial media.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok