UNIC ‘curi’ susunan muzik komposer Indonesia?

TIADA angin tiada ribut, kumpulan nasyid UNIC didakwa menggunakan lagu hasil ciptaan pemuzik Indonesia tanpa kebenaran.

Menerusi satu pendedahan, kumpulan nasyid Indonesia iaitu Azwan sudah memberi nafas baharu kepada susunan lagu Ainul Mardhiah sekitar 2023 dan kemudian  digunapakai UNIC ketika konsert Mega Zikir baru-baru ini.

Dakwa wakil kumpulan Azwan, pihaknya masih menanti respons daripada UNIC selepas beberapa perbincangan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum disekat.

“Susunan lagu ini dipinjamkan kepada kami dengan perjanjian profesional.

“Sehingga kini, kami masih menunggu jasa baik kumpulan UNIC untuk menyelesaikan hal ini. Mereka telah menyekat WhatsApp selepas kami menagih hak secara profesional memandangkan pada awalnya susunan ini adalah projek kerjasama.

“Setelah menerima demo, mereka menggunakan susunan lagu ini tanpa pengetahuan dan persetujuan kami,” katanya kepada HibGlam.

Sementara itu, individu terbabit turut berkongsi beberapa tangkap layar perbualannya bersama anggota kumpulan UNIC iaitu Bazli yang didakwa hanya mahu membayar ganti rugi berjumlah RM800.

Bagaimanapun, pihak Azwan bersetuju dengan bayaran tersebut sekiranya UNIC memuat naik video permohonan maaf secara terbuka atas apa yang berlaku atau harus membeli susunan tersebut dengan harga RM4,000.

Namun, sehingga hari ini UNIC tidak memuat naik sebarang penjelasan lanjut dan permohonan maaf berhubung dakwaan tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok