ENGGAN gambar disalah guna bagi tujuan penipuan, penyanyi Yuna menyeru orang ramai melaporkan pautan berita promosi produk membabitkan dirinya.
Yuna atau nama lengkapnya Yunalis Mat Zara’ai, 37, menafikan dirinya ada kaitan dengan iklan serta berita susulan seperti disebarkan menerusi laman sosial.
“Ramai yang hantar iklan kecerdasan buatan ini. Mula-mula rasa kelakar Tetapi lama-kelamaan mereka mula muat naik gambar baharu.
Boleh tak anda semua bantu saya untuk laporkan setiap kali melihat pautan ini? Ini sangat serius.
“Ini sangat menakutkan,” katanya menerusi InstaStorynya.
Dalam masa sama, pelatun lagu Terukir Di Bintang itu turut menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan menekan pautan yang disediakan.
Tolong jangan tekan pautan tersebut.
Tak tahu kenapa Harith Iskander juga disebut dalam artikel yang sama,” tulisnya lagi.
Artikel yang bertajuk: “Seluruh negara terkejut dengan berita semalam. Yuna mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan normalnya” menunjukkan wajah disunting dengan paparan dirinya diberkas polis.
Ini bukan kali pertama Yuna menyatakan kebimbangan apabila ada pihak menyunting fotonya.
Sebelum ini, anak kelahiran Kedah itu pernah berkongsi gambar palsu memaparkan kononnya penyanyi itu digari dengan diiringi beberapa anggota polis. – HIBGLAM