GARA-GARA meminta khalayak berhenti mengidolakan dirinya, penyanyi dan komposer, Amir Jahari teruk dihentam netizen.
Kenyataan yang dimuat naik dalam aplikasi X atau Twitter itu membuatkan Amir atau nama sebenarnya, Mohamad Amirullah Jahari, 32, bertubi-tubi dicaci pengguna sosial.
“Kepada mereka yang mengidolakan saya, berhenti.
Jangan idolakan dan mengagungkan manusia membuta tuli. Idolakanlah yang selayaknya Rasulullah SAW,” katanya dalam aplikasi X.
Kenyataan juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu (AJL38) itu mengundang rasa kurang senang sebilangan peminat tegar penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dikecam kerana idola mereka itu menerima jemputan maestro David Foster di Indonesia baru-baru ini.
“Benar sekali kenyataan anda tapi bila orang yang paling dekat dengan anda menangguk di air keruh berkenaan isu yang sedang hangat sekarang ini pada kami (peminat) tak baguslah.
“Seolah-olah individu itu tak pernah berbuat baik langsung. Sedih kan?,” tulis seorang peminat.
Terdahulu, timbul kontroversi apabila gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) meluahkan rasa kesal apabila Siti, 45, muncul dalam persembahan anjuran pihak David Foster.
Difahamkan, David merupakan antara selebriti yang aktif menyumbang dana kepada tentera Israel termasuk acara yang dianjurkan oleh Friends of Israel Defence Forces (FIDF).
Susulan itu, ramai yang menganggap Siti tidak sensitif selain dikatakan menjalin kerjasama dengan individu yang menyokong Israel.
Namun, peminat setia pelantun Cindai itu tampil mempertahankan tindakan idola mereka yang dianggap mempunyai alasan tersendiri ketika menerima tawaran nyanyian itu. – KOSMO! ONLINE