SAYA tak buat sebarang tuntutan sebab bagi saya harta paling bermakna ialah anak-anak.”
Demikian reaksi Bella Astillah, 30, susulan keputusannya melepaskan tuntutan mutaah, idah, tunggakan nafkah isteri, hutang perkahwinan dan harta sepencarian selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Bagi bekas isteri penyanyi Aliff Aziz itu, berkata, mendapat hak penjagaan dua anaknya iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, sudah cukup buat dirinya.
“Sudah dapat anak-anak, itu nombor satu yang paling syukur.
Saya tidak mahu panjangkan lagi apa-apa selepas ini. Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada Aliff.
“Sekarang ini adalah fasa untuk ‘move on’ (terus ke hadapan) sahaja. Itu jauh lebih penting sebab saya ada banyak perkara lagi mahu dibuat. Saya mahu jaga anak-anak,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu bersyukur ramai terus mendoakan dirinya dan berharap hari ini merupakan kali terakhir dia menjejakkan ke mahkamah.
Alhamdulillah, terima kasih semua yang mendoakan saya. Mungkin ini kali terakhir saya berada di mahkamah syariah, Insya-Allah, Alhamdulillah sudah selesai.
“Tolong doakan saya dan anak-anak terus kuat dan bahagia selepas ini, insya-Allah,” jelasnya.
Mengulas tindakannya tidak bersalaman sebelum Aliff melafazkan cerai, Bella enggan memperincikan hal tersebut apatah lagi mahu berbaik dengan bekas suaminya dalam tempoh terdekat.
“Biarlah masa yang menjawab segala-galanya.
Masih belum sempat fikirkan perkara itu (bertemu Aliff). Jadi, kita tengok perlahan-perlahan, insya-Allah,” katanya lagi.
Tambah Bella, dia kini hanya ingin fokus membesarkan dua cahaya matanya selain mendoakan yang terbaik untuk Aliff.
“Saya nak fokus dan memperbaiki diri menjadi ibu yang lebih baik.
“Saya doakan dia yang baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Hari ini, Bella dan Aliff sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd. Najib Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara `fast track’ dengan alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Namun, pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella kerana masih sayang terhadap isterinya.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, serta Ara Adreanna, 3. – HIBGLAM