Memandu dalam keadaan mabuk, Justin Timberlake kena dakwa

PENYANYI  Justin Timberlake ditahan di New York, Amerika Syarikat kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam satu kenyataan, bintang pop itu ditahan dan didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk selepas gagal mematuhi tanda berhenti sebanyak dua kali.

Kejadian itu percayai berlaku di laluan lencongan berhampiran dengan kawasan perumahan mewah di Hamptons semalam.

Timberlake kemudian ditahan di Long Island, Sag Harbour pada pagi semalam (waktu tempatan).

Penyanyi berusia 43 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Keadilan Sag Harbour Village dan dibebaskan.

Timberlake juga akan muncul secara maya bagi sebutan kes pada 26 Julai depan.

Menurut dokumen mahkamah, polis menahan Timberlake yang memandu kereta jenis BMW warna kelabu selepas waktu tengah malam.

Apabila ditahan, keadaan mata Timberlake berwarna merah dan berair selain bau alkohol yang kuat.

Awalnya dia dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, namun selepas pemeriksaan mendapati paras alkohol dalam badan penyanyi itu melepasi had yang ditetapkan.

Ketika ditahan juga dia kelihatan tidak stabil dan gagal memberi kerjasama pada peringkat awal pemeriksaan.

Wakil kepada bapa dua anak itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok