A. Aida ‘buang’ Ruhainies, ganti dengan Bella untuk 3 drama

TINDAKAN menyenaraihitamkan artis seperti dilakukan terhadap Ruhainies bukan berunsur peribadi, sebaliknya penerbit, Datuk A. Aida berbuat demikian atas prinsip mahu memberikan pengajaran terhadap pelakon bermasalah.

Kata pemilik syarikat A.Aida Production itu, ketegasan sama wajar diikuti penerbit lain bagi memastikan industri seni bersih daripada anak seni yang tidak menjaga nilai moral serta profesionalisme dunia penerbitan.

Bukan baru kali ini saya ‘blacklist’ artis dan tindakan tegas saya bukan untuk menghukum, cuma lebih kepada bagi pengajaran agar mereka yang bermasalah ini bertanggungjawab atas kesilapan sendiri, manakala penggiat seni lain pula lebih berjaga-jaga.

“Produser lain pun jangan takut untuk buat tindakan serupa kerana kalau nak industri kita dipandang tinggi, kita kena bertegas. Era saya berlakon dulu kalau artis bermasalah akan disenaraihitam tiga hingga empat tahun.

“Saya pun tiada masalah dengan Ruhainies, bahkan dia pelakon kesayangan saya bermula dengan drama Hello, Mr Perfect! sekitar tahun 2015 sampai sekarang banyak drama bawah produksi sama. Prinsip tetap prinsip,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Sebelum ini, penerbit sensasi berusia 53 tahun itu menegaskan enggan lagi bekerjasama dengan Ruhainies susulan kontroversi ditangkap berkhalwat bersama aktor Aliff Aziz yang juga suami kepada Bella Astillah.

Sebagai pengganti, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, menggantikan posisi Ruhainies sebagai bintang utama bagi tiga drama terbitan syarikatnya.

Memang saya terus gugurkan nama Ruhainies dan gantikan dengan Bella untuk tiga drama sekali gus sebab ini era netizen, kita kena ikut kehendak mereka yang mahukan idola ‘bersih’.

“Andai anak saya buat salah pun, saya tetap lakukan tindakan sama, tiada kompromi. Jadi selepas berbincang dengan pasukan, saya sendiri hubungi Bella mengajaknya berjumpa, semalam.

Alhamdulillah, pertemuan itu sukses dan dia nampak bersemangat. Ini juga tanda sokongan saya supaya Bella dapat mengukuhkan kerjaya dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Katanya, pada pertemuan tersebut ibu kepada dua cahaya mata itu terharu diberikan peluang sebesar itu selain berterima kasih kerana yakin terhadap kemampuannya.

Menurut A. Aida lagi, Bella serta adiknya, Didi Astillah bukan asing kepada rumah produksinya kerana mereka pernah terbabit adalah beberapa drama terbitannya ketika kecil.

Sebagai permulaan Bella terbabit dalam telefilem berjudul Ilhan Untuk Nian untuk tayangan saluran Salam HD @unifitv yang dijadualkan bermula pada April depan.

“Selepas Ilhan Untuk Nian, dia juga akan menyambung tugasan bagi drama Matahariku disusuli drama bersiri 13 episod berjudul Game Over Romeo,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok