Positif Covid-19 kali kedua, Siti Nurhaliza risaukan suara

DIJANGKITI Covid-19 buat kali kedua, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sudah tamat kuarantin mengakui bimbang andai peti suaranya terganggu sekali lagi.

Kata pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 44,  disahkan positif kali ini benar-benar mencabar kerana lebih  menyakitkan berbanding kali pertama diserang virus itu tahun lalu.

Bohonglah kalau saya kata tak risau, sebab suara saya adalah aset, tambahan pula turut mengalami gejala batuk berkahak yang sangat mengganggu.

“Berbeza dengan jangkitan Covid-19 kali pertama dulu tiada demam atau sakit badan, namun kali ini saya alami sengal otot yang teruk selain demam.

“Harap-harap, apa yang berlaku tak mengganggu peti suara saya,” katanya kepada HibGlam.

Pada masa sama, pelantun lagu Sehebat Matahari itu sempat menitipkan pesanan kepada khalayak agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Kes meningkat semula, semua orang kena sentiasa berjaga-jaga. Kalau tak sihat, cepat-cepat buat pemeriksaan kesihatan, telan ubat.

“Saya pun bila dapat tahu dijangkiti, cepat-cepat ambil vitamin C dan antibiotik, seterusnya menghabiskan kuarantin selama tiga hari,” katanya pada Majlis Ukhuwah dan Apresiasi serta Pelancaran Kempen Jihad Yayasan Nurjiwa, hari ini.

Ditanya mengenai kondisi terkini vokalnya, ibu kepada dua cahaya mata itu menzahirkan rasa syukur kerana aset penting itu semakin membaik.

Syukur sangat sebab dah makin baik. Maknanya, bila saya nyanyikan lagu-lagu lama, bunyi suara saya ada rasa ‘ringan’ sedikit.

“Kalau tak, rasa ‘berat’, kasar dan nafas tak cukup. Jadi, ini proses yang sangat lama dan hampir setahun juga untuk saya kembali dapatkan suara ‘ringan’ seperti ini.

Tiba-tiba saya dijangkiti Covid-19 semula. Alhamdulillah, saya dah habis kuarantin dan harapnya tak ada apa-apa. Cuma tinggal batuk sahaja,” katanya.

Sebelum ini, isteri kepada Datuk Khalid Jiwa itu pernah dijangkiti Covid-19 pada 2022 sehingga peti suaranya bermasalah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok