Sharnaaz janji tak buat hal lagi

ALHAMDULILLAH, kes saya sudah selesai. Insya-Allah saya tidak buat hal lagi,”

Demikian kata pelakon Sharnaaz Ahmad yang menzahirkan rasa syukur selepas dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan dalam satu insiden yang berlaku pada Jun tahun lalu.

Kesal atas kekhilafan yang berlaku, Sharnaaz menerusi satu kenyataan yang dikongsikan dalam Instagram miliknya berjanji untuk tidak mencetuskan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Assalamualaikum saya di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti kes saya dengan rapat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dua orang kuat iaitu peguam saya yang menyokong saya sejak tahun lepas.

“Alhamdulillah hari ini hari Jumaat, kes saya sudah selesai. Insya-Allah saya tidak buat hal lagi,” katanya.

Terdahulu, Mengikut pertuduhan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan terhadap pelakon Suamiku Encik Sotong itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selepas lebih setahun perbicaraan, Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan Sharnaaz bebas daripada pertuduhan tersebut selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.

“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah berpuas hati dan dengan ini memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan (DNA) manakala wang jaminan dikembalikan,” kata Majistret Atiqah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok