Semoga luruh dosa-dosa – Aniq Suhair

“BOLEH kita mula semula?”

Seperti fasa kelahiran semula, pelakon sensasi Aniq Suhair berharap tindakannya membotakkan kepala sempena ibadah umrah yang dilakukannya ketika ini sebagai permulaan baharu hidupnya.

Pemilik nama penuh Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 22, itu juga menitipkan doa agar semua dosa-dosa pernah dilakukannya diampunkan Tuhan seperti mana jumlah helaian rambut yang ‘gugur’.

“Semoga luruhnya rambutku ini seperti mana gugur dosa-dosaku.

“Kita mula semula. Era rambut botak bermula,” katanya ringkas selain berkongsi video dalam TikTok memaparkan momen kepalanya dibotakkan.

Difahamkan, bintang drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu sedang menunaikan ibadah umrah.

Sebelum ini, Aniq yang juga bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 menjadi bualan ramai apabila menjadi mangsa fitnah dan dituduh telah menghamilkan seorang wanita.

Tidak berdiam diri, Aniq atau nama lengkapnya Aniq Suhair Mohd. Salleh memberitahu sedia untuk mengambil tindakan undang-undang demi menjaga nama baiknya.

Namun, wanita tersebut menarik semula semua tuduhan yang dilemparkan dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun TikToknya pada 1 November lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok