PELAKON Norish Karman mengakui sering menerima tawaran lakonan namun rata-rata meletakkan syarat dia perlu menanggalkan hijab.
Norish atau nama sebenarnya Nor’Ashikin Karman, 52, tidak menafikan bahawa desakan hidup demi menyara anak-anak membuatkannya pernah terdetik untuk membuka hijab semata-mata untuk mencari pendapatan.
“Saya memang banyak tawaran, mereka nak rambut Spa Q (drama) saya lagi tapi saya cakap saya dah istiqamah dan minta maaf banyak-banyak.
“Ramai selebriti buat macam itu, mereka berani tapi saya takut.
“Bila buat undian nak buka hijab, anak-anak semua undi jangan. Bohonglah kalau tak rasa nak buka hijab sebab mahu jaga ekonomi anak-anak,” katanya dalam siaran langsung TikTok bersama pempengaruh dan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.
Pada masa sama, pelakon filem Sayang Salmah itu turut terkesan apabila anak-anaknya terpaksa menaiki kereta uzur sehingga memberi kesan kepada kesihatan anak-anaknya yang semakin membesar.
“Paling terasa, anak-anak masuk kereta dan semua makin tinggi tapi kereta pula kecil.
“Semua sakit badan dan kaki. Saya teringin nak beli kereta besar, biar mereka duduk ramai-ramai pergi sekolah.
“Ini dengan tiada pendingin hawa, enjin rosak. Buat apa nak bohong, ada dekat luar boleh ambil video dan gambar tiada masalah.
“Kereta bila bergerak pendingin hawa automatik mati. Bila hujan, tutup tingkap semua berpeluh,” kongsinya lagi.
Meskipun diuji dengan kesempitan hidup, Norish tetap bersyukur kerana Allah masih memberikan ujian kepadanya yang dianggap sebagai tanda dia masih disayangi.
“Saya tak mencuri dan buat benda-benda berdosa. Saya takut dan tak malu, benda ini Allah bagi.
“Terima kasih Allah kerana pandang kami dan sentiasa bagi ujian serta dugaan. Takut juga bila Allah tak pandang,” ujarnya.
Semalam, Aliff menyerahkan sumbangan sebagai gaji berjumlah RM20,000 kepada Norish dan lapan anak-anaknya hasil melakukan jualan siaran langsung selama dua jam di Tiktok.
Usaha Aliff dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida itu antara cara membantu meringankan beban keluarga pelakon terbabit.
Sebelum ini, anaknya, Hanyz Amanda mengejutkan ramai apabila berkongsi tahap kesihatan Norish semakin merosot sehingga perlu dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan.
Dia turut membuka tabung online bagi meminta sumbangan ihsan daripada orang ramai untuk membayar kos rawatan ibunya. – HIBGLAM
