Sanjna Suri sambut Deepavali di Arab Saudi, lawat Al Ula

SETIAP kali tibanya sambutan Deepavali, pelakon yang sedang meningkat naik Sanjna Suri pasti berasa teruja kerana itulah masanya dia dapat berkumpul bersama keluarga besar.

Namun begitu, tahun ini rutinnya sedikit berbeza apabila memilih untuk bercuti di Arab Saudi pada perayaan Deepavali.

“Tahun ini adalah kali pertama saya tidak meraikan Deepavali bersama keluarga di Malaysia kerana saya akan bercuti ke Arab Saudi dan melawat Riyadh serta Al Ula.

“Saya akan melawat rakan-rakan di sana. Keluarga pun memahami kerana inilah masa untuk saya bercuti. Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak meraikan Deepavali.

Sambutan Deepavali tetap berjalan seperti biasa cuma cara dan suasana sedikit berbeza kerana berada di luar negara,” kongsi model jelita itu lagi.

Ditebak apakah keistimewaan perayaan pesta cahaya buat dirinya, wanita berusia 30 tahun itu mendedahkan Deepavali bermaksud tahun baharu buat masyarakat beragama Hindu.

Justeru, Deepavali bukan sekadar pesta untuk berkumpul bersama sanak-saudara tetapi sebagai hari yang istimewa untuk berdoa bagi kesejahteraan seisi keluarga.

“Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga akan ke kuil pada sebelah pagi untuk berdoa dan memohon perkara yang baik-baik sempena tahun baharu.

“Selepas itu, barulah kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara. Bahagian paling seronok adalah menerima angpau atau duit raya.

Bagi kami, orang yang berkahwin akan beri angpau pada mereka yang belum berkahwin. Tetapi untuk saya rasa agak janggal untuk terima duit raya pada usia 30 tahun. Saya hanya dua beradik, adik perempuan telah berkahwin, jadi dia akan akan beri saya duit raya,” tuturnya seraya ketawa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok