BEKAS Menteri Kesihatan dan penyampai radio Khairy Jamaluddin tidak mempunyai perancangan untuk berhenti daripada industri kreatif buat masa sekarang selagi belum kembali dalam dunia politik dan memegang sebarang jawatan rasmi.
Khairy, 50, berkata, dia kini lebih selesa dengan kerjaya sebagai penyampai radio di Hot FM namun akan terpaksa melepaskan jawatan tersebut sekiranya sudah kembali aktif dalam politik pada masa akan datang.
“Selagi saya hanya ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan rasmi, saya tidak melihat sebarang isu untuk terlibat dalam dunia kreatif sama ada di Hot FM ataupun sebagai pelakon.
Namun, sekiranya saya kembali memegang jawatan rasmi, kedua-dua dunia itu perlu dipisahkan. Peranan rasmi tidak boleh dicampuradukkan dengan bidang hiburan.
“Dari sudut profesionalisme dan persepsi awam, semua itu perlu diberi perhatian supaya masyarakat tidak keliru tentang hala tuju kerjaya seseorang itu, sama ada sebagai pelakon atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh, semalam.
Berkongsi tentang filem pertama lakonannya iaitu 5 Bomoh dia menerima tawaran tersebut susulan watak yang dipegang iaitu sebagai Mr. K mempunyai persamaan dengan karakter sebenarnya dalam kehidupan sebenar.
“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam filem pendek dan iklan, tetapi belum pernah berlakon dalam filem panjang.
Apabila tawaran ini muncul, saya melihat watak yang diberikan bukan watak utama sebab rasa belum ada banyak pengalaman untuk menggalas peranan tersebut.
“Sebagai langkah awal dalam bidang ini, saya melihat watak Mr. K sangat sesuai kerana tidak jauh berbeza daripada personaliti saya sendiri,” katanya lagi.
Khairy berkata, persamaan antara watak yang dibawa dengan dirinya memudahkan proses menghidupkan karakter tersebut.
“Sepanjang penggambaran, saya tidak perlu melakukan perubahan yang terlalu besar untuk merealisasikan watak ini.
Untuk percubaan pertama ini, Mr. K banyak dipengaruhi personaliti sendiri dan mungkin sebab itu cabaran untuk saya tidak begitu susah,” jelasnya.
Selain Khairy, 5 Bomoh turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Scha Alyahya, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Amy Search, Aedy Ashraf, Ozlynn Waty, Johan, Ungku Hariz dan Tiara Suraya Rose.
Filem arahan Syed Fariz itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini. – HIBGLAM
