PENYANYI juga pengarah, Sein Qudsi mengingatkan pempengaruh yang mahu menceburi arena lakonan agar tidak hanya bergantung kepada populariti dalam media sosial, sebaliknya melengkapkan diri dengan ilmu.
Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa Al Qudsy, 42, berkata sesiapa sahaja berpeluang menjadi pelakon tanpa mengira latar belakang kerjaya, perlu mempunyai kesungguhan mempelajari seni lakonan.
“Bagi saya, tak kisah siapa pun awak, sama ada influencer, jurutera atau arkitek, lakonan merupakan satu bentuk seni.
“Paling utama kena ada minat. Kemudian perlu cari ilmu lakonan supaya kita bersedia sebaik sahaja masuk set penggambaran,” katanya.
Menurutnya yang berpengalaman mengarahkan filem serta drama, bakat semula jadi sahaja tidak mencukupi andai tidak disertai kesungguhan ke arah menjadi pelakon yang bagus.
“Bakat memang penting sebab orang berbakat ini ajar sikit terus jadi. Tapi kalau ada bakat tanpa ilmu dan pengalaman, dia jadi macam tak habis tumbuh.
“Sayanglah kalau bakat dibiarkan begitu sahaja, jangan berhenti belajar supaya tidak statik,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemunculan generasi baharu pempengaruh yang cuba menembusi dunia lakonan, Sein mengakui mereka tampak lebih bersedia apabila mendapatkan ilmu menerusi pelbagai platform.
“Sekarang ini generasi baharu ramai yang bijak. Apatah lagi infomasi kini semua boleh diperoleh hanya di hujung jari.
“Kalau mereka punya pengetahuan selain buat ‘homework, mereka akan lebih menonjol ketika sesi uji bakat.
“Sebagai pengarah, sebenarnya kita boleh nampak siapa yang datang buat persediaan lengkap. Mereka ini ada potensi kita panggil untuk projek lain,” ulasnya.
Mengenai kebolehan menghasilkan kandungan di TikTok di media sosial sudah memadai untuk bergelar pelakon, pengarah filem Langgar itu menegaskan kedua-duanya berbeza.
“Tidak boleh disamakan. Macam awak main bola dekat padang depan rumah dengan kawan-kawan berbanding bermain di stadium besar.
“Dekat depan rumah mungkin rasa hebat, tapi bila masuk gelanggang utama, tiba-tiba kaki boleh jadi kaku. Takkan sama,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Soul City: An R&B Night, baru-baru ini.
Sein juga anggota Ruffedge berkongsi perasaan teruja menantikan tarikh konsert Soul City: An R&B Night pada 10 Julai yang menghimpunkan kumpulannya bersama grup otai Innuendo, selain Lah Ahmad serta The Fabulous Cats dengan Datin Alyah.
Konsert yang bakal berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil itu disifatkan sebagai manifestasi penghargaan penyokong genre pop R&B.
“Konsert itu nanti bukan hanya mengingatkan khalayak terhadap kegemilangan muzik R&B tempatan sekitar penghujung 1990-an serta awal 2000-an, malah tanda penghargaan kami untuk kesetiaan pendengar,” ulasnya.
Bagi yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah Soul City: An R&B Night anjuran Menara Network Sdn Bhd, boleh dapatkan tiket serendah RM55 di MyTicketEmpire. –HIBGLAM.
