APABILA sebut mengenai industri hiburan global, minda kita biasanya akan terus terbayang antaranya, Korea Selatan.
Kebiasaannya, kita akan terbayang kumpulan K-pop yang lincah, drama bersiri yang menyentuh hati dan pengaruh budaya pop yang mendominasi carta dunia.
Namun, jika kita mengalihkan pandangan sedikit ke utara semenanjung merentasi Zon Bebas Tentera (DMZ) wujud sebuah dunia seni yang jauh berbeza, penuh misteri dan bergerak di bawah acuan yang sangat unik.
Di Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), seni dan hiburan bukan sekadar platform untuk mengejar populariti, mengumpul kekayaan atau mengekspresikan emosi peribadi.
Sebaliknya, seni di negara ini adalah alat propaganda negara (state apparatus) yang sangat penting.
Tugas utama mereka bukanlah untuk menghiburkan individu tetapi menyemarakkan semangat patriotisme, memupuk ketaatan mutlak kepada pemimpin tertinggi dan menyebarkan dakyah politik melalui karya-karya yang penuh estetika.
HibGlam kali ini menyenaraikan empat artis Korea Utara yang cukup hebat tetapi tidak dikenali ramai.
Hong Yong-hui

PELAKON Hong Yong-hui sangat sinonim dengan filem The Flower Girl (1972).
Dalam filem tersebut, Yong-hui mengisahkan watak seorang gadis yang tinggal di kampung dan ditindas tuan tanah dengan berlatarkan zaman pemerintahan Jepun pada 1920-an.
Memetik sebuah laporan berita, gambar wajah wanita berusia 70 tahun itu pernah menghiasi wang kertas 1 won di Korea Utara dan dipuja sebagai seorang pahlawan nasional.
Ri Kyong-suk

RI Kyong-suk ialah seorang penyanyi wanita yang dilahirkan pada 1 Januari 1970.
Dia mula menyanyi dan berlakon dalam produksi opera sejak berusia 7 tahun.
Pada usia 15 tahun, dia terpilih untuk membintangi filem Female Teacher.
Seterusnya, dia menyertai kumpulan Ponchonbo Electronic Ensemble yang melonjakkan namanya sehingga terkenal di Korea Selatan dan Jepun.
Bermula tahun 2016, wanita berusia 56 tahun itu turut mengajar di Kim Won Gyun University Of Music.
Hyon Song-wol

SELAIN bergelar penyanyi, Hyon Song-wol merupakan seorang ahli politik.
Pada mulanya, Song-wol ialah ketua bagi Moranbong Band iaitu sebuah kumpulan muzik wanita yang ditubuhkan Presiden, Kim Jong-un pada 2012.
Dia juga pernah menjadi ahli kumpulan bagi kumpulan Pochonbo Electronic Ensemble.
Wanita berusia 49 tahun itu pernah digosipkan mempunyai hubungan rapat dengan Jong-un semasa mereka masih remaja, namun hubungan tersebut tidak dipersetujui Kim Jong-un II (bapa Jong-un).
Walau bagaimanapun, pada 2006, dia berkahwin dengan seorang anggota tentera Korea Utara.
Kerjaya politiknya bermula pada tahun 2017 apabila dia dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat Parti Buruh Korea.
Kim Ok-ju

SELAIN Song-wol, Kim Ok-ju juga merupakan antara ahli kumpulan Moranbong Band.
Pada 12 Julai 2021, dia dikhabarkan dianugerahkan penghargaan nasional Artis Rakyat oleh Kim Jong-un.
Penghargaan tersebut diberikan kerana penglibatannya dalam persembahan konsert bersama Korea Utara dan Korea Selatan pada April 2018 di Ryugyong Chung Ju-yung Gymnasium, Pyongyang yang bertujuan untuk mempererat hubungan kedua-dua buah negara.
Ok-ju dinilai berjaya membangkitkan semangat dan kegembiraan rakyat Korea Utara melalui karya agung serta persembahannya yang epik. – HIBGLAM
