Nafi hidup mewah, Shuib cuma suka main golf

PELAWAK dan usahawan Shuib menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa hidupnya serba mewah tetapi culas membayar cruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, kehidupannya masih sama seperti dahulu dan hanya fokus bekerja, menguruskan anak-anak serta bermain golf.

“Kalau betul rapat dengan saya, mesti tahu saya cuma pergi kerja dan bermain golf.

“Saya jalani hidup macam biasa. Ada masa pergi bercuti bersama keluarga.

“Itu penting. Tidak mungkin saya tidak boleh keluar. Dah kenapa pula kan?,” katanya dalam temu bual sebuah program hiburan.

Dalam masa sama, penyampai radio Surian FM itu berasakan segelintir pihak sengaja menambah minyak dalam api pada kala dirinya terpalit dengan isu perniagaan minumannya.

“Tidak faham bila kata berhibur dan bermewah. Itu yang saya pelik kerana tengok kehidupan saya memang tiada pun (bermewah).

“Benda memang sudah ada salah, jadi orang pun mula tokok tambah cerita.

“Saya tahu diri saya. Kita pun pernah buat salah, jadi tidak mahu perkara ini berulang lagi,” jelasnya lagi.

Tuduhan liar tersebut mula tercetus apabila syarikat minuman yang diasaskan Shuib, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan susulan tular surat terbuka seorang individu tidak dikenali dalam aplikasi TikTok.

Tidak lama selepas itu, Shuib mengakui Bubble Bee, mempunyai masalah untuk membayar KWSP pekerjanya tetapi menafikan dakwaan tidak membayar langsung.

Tegasnya, pihak Bubble Bee telah membuat rundingan dengan KSWP untuk membayar caruman secara ansuran selepas mengalami masalah pengurusan kewangan dalam syarikatnya sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok