Masih di ICU, Nora stabil

PENYANYI Datuk Nora Ariffin yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta di Kajang kini berada dalam keadaan stabil.

Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Jaja, suami Nora iaitu Dr. Rushdi Ramli memaklumkan keadaan penyanyi itu tidak membimbangkan.

“Alhamdulillah, keadaan Nora stabil dan tidak membimbangkan. Dia juga dalam keadaan sedar.

“Mohon doakan agar Nora diberikan kesembuhan,” kongsinya kepada HibGlam hari ini.

Tambahnya, pelantun lagu Hanya Satu itu dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu selepas mengalami demam panas dan sesak nafas.

Sejak semalam, tular tangkap layar perkongsian Rusdhi dalam Instagram memaklumkan Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 50, terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kajang akibat sesak nafas.

Menerusi perkongsian tersebut, Rushdi turut memohon orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan isterinya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok