PELAKON dan usahawan, Nur Fazura mempunyai cara tersendiri dalam menunjukkan solidariti kepada Palestin tanpa terikut-ikut cara segelintir pengusaha menghasilkan tudung bercorak bendera negara itu.
Pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, berkata, walau dilakukan atas nama amal tindakan sebegitu tetap mencetuskan rasa sangsi kerana tidak mungkin ada peniaga yang enggan mendapat pulangan.
“Ini pendapat saja, bukan untuk menghakimi sesiapa. Pada saya perkara ini pelik sedikit. Kita boleh saja buat koleksi khas untuk Palestin, cuma ada ke yang bagi 100 peratus keuntungan?
“Kita kena keluarkan modal dan sebagainya. Selaku pengusaha, pasti kita nak cari keuntungan sikit. Jadi saya menolak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di majlis Ngopi Bersama Fazura, baru-baru ini.
Akui isteri kepada aktor Fattah Amin itu, sebelum ini dia pernah mengeluarkan koleksi tudung diberi nama Raudhah yang didedikasikan khas buat syuhada di Palestin, tetapi tidak pernah menguar-uarkan perkara tersebut.
“Saya bayangkan mereka yang terkorban sedang bermain di taman syurga. Bunga-bunga itu melambangkan kedamaian serta kemuliaan mereka.
“Cuma saya tak pernah dedahkan tentang perkara ini apabila orang bertanya kenapa namakan koleksi ini Raudhah.
“Bagi saya paling penting kita terus berdoa buat mereka di Palestin kerana doa adalah senjata utama kita sebagai orang Islam.
“Sumbangan yang saya dah salurkan juga tak perlu disebut, itu antara saya dengan Allah dan kita teruskan bagi bantuan lain untuk meringankan beban mereka,” ujarnya.
Pada sesi Ngopi Bersama Fazura, pelakon filem Gol & Gincu turut melancarkan produk keluaran syarikatnya berupa minuman kopi kesihatan yang diberi nama TrullyCaffe.
“Sebagai peminat kopi yang suka makan dan kuat bekerja, saya perlukan minuman yang mampu menurunkan berat badan dan memberi tenaga.
“TrullyCaffe yang mempunyai pelbagai manfaat ini adalah produk baharu yang saya ingin kongsikan dengan orang ramai.
“Selama enam bulan pihak kami melaksanakan proses penyelidikan dan pembangunan hingga akhirnya dapat dikongsi dengan pengguna,” ujarnya. – HIBGLAM