MELETAKKAN profesionalism sebagai tunjang dalam kerjaya, pelakon dan pengarah Elly Suriaty tidak mengelak apabila bertemu bekas suaminya, Azri Iskandar dalam satu majlis pelancaran drama yang berlangsung di ibu kota malam ini.
Elly, 53, ketika ditemui media berkata, itu adalah pertemuan pertama mereka selepas setahun bercerai.
Kami bersikap profesional kerana berada dalam bidang yang sama dan mustahil tidak bertegur sapa apabila hadir ke acara sama.
“Sebenarnya ini adalah pertemuan pertama kami dalam satu acara kerja,” katanya kepada HibGlam.
Pada acara tersebut, Ellie dan Azri hadir sebagai pelakon dalam drama Tanah Kubur namun berbeza episod.
Sementara itu, Elly berkata dia dan bekas suami tidak pernah bersengketa sejak berpisah tahun lalu.
Kami sudah hidup sebagai suami isteri selama 19 tahun dan mengapa sekarang perlu buat-buat seperti tidak kenal pula?
Saya tidak bermusuh dengan dia pun. Penceraian kami sebelum ini pun dengan cara baik.
“Kalau ada konflik antara kami sekalipun, saya tetap akan bersikap profesional,” jelasnya.
Dia yang popular menerusi drama Orang Gaji 41 itu juga tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon dalam sebuah filem atau drama yang sama dengan Azri.
Saya tiada masalah untuk berlakon drama atau filem bersama dia tetapi bukanlah dalam satu babak yang sama.
“Namun, kalau sudah berada dalam satu set penggambaran yang sama, apa boleh saya lakukan sebab kita pun kena memudahkan kerja orang lain,” jelasnya lagi.
Ditanya soal hubungan Azri atau nama sebenarnya, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, dengan anak-anak, Ellie memaklumkan bekas suaminya tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
“Hubungan anak-anak dengan Azri buat masa ini sangat baik dan saya tidak pernah pisahkan mereka.
Saya selalu ingatkan anak-anak supaya menelefon dan bertanya khabar ayah mereka setiap hari.
“Alhamdulillah, dia pun tidak gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa,” katanya lagi.
Untuk rekod, Azri dan Ellie bercerai talak satu pada 17 Mei 2022.
Beberapa minggu selepas bercerai, Azri mengesahkan dia dan kekasih yang dikenali sebagai Dr. Azra sudah mengikat tali pertunangan pada 29 Jun tahun lalu bertempat di Kangar, Perlis.
Bagaimanapun, menurut Azri, majlis perkahwinan terpaksa ditunda kerana duit yang dikumpul masih belum mencukupi.
Azri dan Elly dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14.
Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27. – HIBGLAM