Jangan Hilangkan Dia batalkan hasrat Rossa bersara

LAGU runut bunyi filem ILY From 38.000 FT, Jangan Hilangkan Dia menjadi ‘penyelamat’ Rossa daripada menoktahkan karier seninya.

Perkara itu didedahkan penghibur tersohor Indonesia tersebut di hadapapan kira-kira 2,3000 penonton pada malam kedua konsert Another Journey: The Beginning, di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Lagu ini menyelamatkan saya beberapa kali daripada perasaan ingin berhenti bermain muzik kerana timbul rasa tidak percaya terhadap kemampuan diri.

“Waktu kecamuk itu berlaku sekitar 2016 yang mencetuskan aneka rasa kerana saya cuma manusia biasa, hinggalah sebuah produksi meminta saya membuat lagu soundtrack iaitu Jangan Hilangkan Dia,” luahnya disambut sorakan peminat.

Kemahiran Rossa berkomunikasi di atas pentas menjadi daya pemikat untuk peminat terus mengikuti konsertnya di Malaysia.

Pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani itu menghangatkan malam terakhir bukan hanya dengan seleksi galau sebaliknya kebanyakkan trek hits digubah susunan muzik baharu yang rancak.

Antaranya Terlalu Cinta, Tegar dan Khanti, yang kata Rossa menyuntik mesej gembira agar peminat sentiasa dilingkungi aura positif.

Sepanjang dua jam penyanyi yang sudah mencecah usia 44 tahun itu terus bertenaga mendendangkan karya popularnya sambil berceloteh.

Sesekali gurauannya mengundang tawa dan itulah kelebihan figura yang mesra disapa Teh Ocha hingga setiap kali konsert di Malaysia tiketnya terjual licin dalam tempoh singkat.

Rossa mendendangkan kira-kira 25 lagu dalam konsertnya kali ini.

Selain medley Ayat Ayat Cinta serta Atas Nama Cinta, Lupakan Cinta dan Wanita, hampir 25 lagu diperdengarkan Rossa sepanjang beraksi di konsert  anjuran Dream Fest Kuala Lumpur Vol.3 itu.

Malah, bonus persembahan mega tersebut tentu saja penampilan istimewa penyanyi merangkap komposer popular yang menjadi sebutan iaitu Mahalini.

Terdahulu, pentas dihangatkan dengan kemunculan bakat baharu yang membawakan dua buah lagu, Zareef Sein.

Pada hari pertama, teman seperjuangan yang turut mempunyai ramai peminat di sini, Rizky Febien menemani Rossa di pentas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok