PENDAKWAH bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail dan isterinya, Neelofa bakal mengorbankan dua ekor lembu sado untuk ibadah korban, esok.
Kata Muhammad Haris atau PU Riz,
mereka bersyukur dapat mencari lembu ‘cantik’ yang mempunyai bonggol dan bertanduk
“Alhamdulillah kami dapat dua ekor lembu cantik yang berwarna putih dengan berbonggol dan mempunyai tanduk .
“Seekor akan dikorbankan di kampung, manakala seekor lagi bakal menjalani korban di sini (Kuala Lumpur),” katanya kepada Kosmo! Online.
Pasangan selebriti sensasi itu ditemui ketika pelancaran restoran makanan segera sihat berasaskan sayuran dan bahan alami, Rightside di Mont Kiara, di sini semalam.
Sementara itu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor, 34, yang sedang sarat hamil dan hanya menunggu hari untuk melahirkan cahayamata keduanya mengakui teruja menanti takbir raya.
Begitupun katanya, tahun ini Aidiladha hanya disambut dengan suami tercinta, anak mereka serta adik beradik kedua-dua belah pihak.
Kongsi pengacara Next to Neelofa itu lagi, ibu bapa serta mentuanya tidak berada di ibu negara pada sambutan hari raya Haji tahun ini.
“Rasanya ini pertama kali mak ayah saya dan Haris tiada di Kuala Lumpur. Jadi kami akan beraya dengan adik beradik serta saudara mara terdekat.
“Pada masa sama, kami juga akan bersama-sama seisi keluarga buat ibadah korban di sini,” kongsinya.
Pada sambutan Aidiladha tahun lalu pasangan terbabit mengorbankan dua ekor lembu sado jenis Charolais masing-masing seberat satu tan.
Mereka turut terbabit dalam Majlis Korban Perdana Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba Tunjong, Kelantan.
Nenerusi Pertubuhan Kasih Neelofa pula, pasangan berkenaan telah memperuntukan 15 ekor lembu untuk disembelih bagi ibadah qurban di empat buah negeri berbeza iaitu, Kelantan, Perak, Selangor dan Kedah . – KOSMO! ONLINE