PENYANYI Adira melahirkan rasa berang terhadap seorang lelaki dalam media sosial yang tidak dikenali menawarkan diri untuk menjalinkan hubungan sulit bersamanya.
Kurang senang dengan perkara tersebut, Adira, 31, menerusi video TikTok memberi amaran bahawa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit walaupun hakikatnya sekadar ingin bergurau.
“Saya bukan orang yang suka melayan komen-komen negatif tetapi kali ini sangat melampau.
“Saya boleh bergurau dan buat kelakar tetapi bukan dengan cara sebegini,” kata bekas peserta Akademi Fantasia itu.
Tambah pelantun lagu Ku Ada Kamu itu lagi, menjalinkan hubungan sulit adalah satu perkara yang tidak akan sesekali dilakukannya terutama apabila sudah memegang status seorang isteri.
“Kalau hendak cari skandal, sejak dulu lagi sudah buat. Tidak perlu tunggu sampai sudah beranak-pinak seperti sekarang.
“Anda jangan ingat perkara begini boleh bawa bergurau ya. Bukan apa, video penjelasan begini dilakukan supaya tiada lelaki gila yang berani mesej saya begitu lagi,” tegasnya.
Tindakannya berkongsi kepada umum mengenai hal tersebut adalah untuk menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan hal sama terhadpa individu lain.
Malah, dia juga mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh disabitkan untuk kesalahan sebegitu.
“Selagi duduk dalam Malaysia yang ada undang-undang, jangan berani ya untuk melakukannya. Tolong hormat.
“Kalau berani mesej saya mengenai perkara begitu, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang termasuk laporan polis,” ujarnya.
Amaran tersebut disuarakan pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu apabila menerima mesej daripada lelaki tidak dikenali dalam TikTok yang menawarkan diri untuk menjadi skandalnyasekiranya diperlukan.
“Dira, awak mencari skandal ke? Kalau awak cari, hubungi saya ya. Jangan marah,” kata lelaki tersebut.
Selain itu, lelaki terbabit turut meninggalkan nombor telefon sekiranya Adira berminat untuk menjalinkan hubungan sulit dengannya.
Adira dan Datuk Red iaitu Adenan Abu berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayoub yang kini berusia sembilan bulan. – HIBGLAM