Menghampiri detik perkahwinannya tidak lama lagi, pelakon popular Syafiq Kyle mengakui didekati banyak tawaran penajaan beberapa pihak yang menawarkan peluang berkolaboratif untuk sama-sama meraikan hari bahagianya.
Atas sebab-sebab tertentu, bakal suami kepada pelakon Mimi Lana itu bagaimanapun selesa mengambil pendekatan selektif dan terpak sa menolak beberapa tawaran penajaan yang dirasakan tidak sesuai.
“Memang ada beberapa pihak ingin memberikan tajaan dalam majlis perkahwinan, tetapi saya perlu selektif atas beberapa sebab.
“Ada yang saya perlu tolak tajaan mereka dengan alasan yang tertentu, bukan tidak sudi, tetapi macam saya katakan disebabkan hal tertentu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditemui pada tayangan filem TonTon Original terbaharu berjudul Seindah Kasih, Syafiq 31, turut meluahkan kesyukuran apabila segala persiapan hari bahagianya sudah 100 peratus selesai.
Katanya, persiapan awal perlu dilakukan berikutan tuntutan kerja pada bulan hadapan menyebabkan Syafiq perlu mempersiapkan segala urusan lebih awal.
“Semuanya memang 100 peratus sudah disempurnakan supaya nanti tiada perkara tertinggal sebelum majlis kami berlangsung.
“Saya perlu selesaikan segera semua perkara kerana sepanjang bulan hadapan saya terlibat dalam sebuah penggambaran yang memerlukan tumpuan penuh.
“Setakat ini memang tiada banyak perkara yang dikongsikan tentang majlis kerana saya lebih fokus kehidupan selepas berkahwin,” jelasnya.
Ditebak mengenai tahap keselesaan pelakon drama One Cent Thief, Syafiq menganggap dirinya sebagai manusia biasa yang masih terasa jika sering diajukan soalan tentang perkahwinan.
“Jangan tanya rimas atau tidak kerana saya manusia biasa. Ada benda yang saya sudah jawab berkali-kali.
“Saya pun sendiri memuat naik gambar Mimi. Isunya sekarang apabila soalan yang diajukan tetap sama.
“Tiada isu saya rimas, tidak mahu jawab atau tidak suka soalan perkahwinan kerana segala hal tentang perkahwinan turut saya kongsikan dalam Instagram,” jelas aktor itu.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak memaklumkan bakal menamatkan zaman bujang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Syafiq bersama keluarganya merisik Mimi dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup.
Pasangan sama cantik sama padan itu mula berkongsi tentang hubungan istimewa mereka sekitar tahun 2019.
Walau bagaimanapun, sekitar Mei 2020, hubungan mereka dikatakan putus sebelum kembali terjalin beberapa bulan kemudian – KOSMO! ONLINE