DENGAN lambakan filem seram tempatan yang sering memilih jalan mudah, jeritan, bayang hitam dan kejutan Polong muncul seperti luka lama yang dibuka semula. Pedih, kotor dan sukar dilupakan.
Bagi penulis, naskhah tersebut bukan sahaja mahu menakutkan, tetapi memaksa penonton berdepan sisi paling gelap manusia.
Bermula tayangan, penulis sudah dapat rasakan filem itu berbisik dari awal bahawa plot cerita bukan dalam konotasi ketakutan biasa, tetapi rasa bersalah yang menjelma menjadi ngeri.
Karya arahan Zulkarnain Azhar itu jelas tidak play safe, malah selepas sedekad menulis dan mengkaji, hasilnya terasa matang, berlapis dan sarat visi.
Inspirasi daripada kes jenayah berprofil tinggi memberi asas realisme cukup meresahkan menjadikan Polong berdiri sebagai karya berani yang membedah jiwa hitam manusia.
Naratif dibina dengan kemas, bermula daripada tindakan kecil membawa malapetaka besar. Seorang wartawan wanita membuka ‘pintu’ tidak sepatutnya disentuh, lalu membebaskan entiti polong, simbol dosa lama yang enggan mati.
Dari situ, cerita berkembang menjadi perjuangan hidup dan mati, namun akar sebenarnya jauh lebih dalam, warisan gelap tidak pernah benar-benar berakhir.

JUN Lonjong (baju putih) sebagai Maria Hadi tidak hanya membawa watak antagonis yang menyeramkan, sebaliknya turut mencetus rasa menyayatkan hati di jiwa penonton.
Struktur plot pula bijak mengimbangi elemen penyiasatan jenayah dengan seram supernatural.
Pergerakan cerita tidak lurus, sebaliknya berliku, penuh kejutan, serta memaksa penonton terus berfikir.
Setiap lapisan membuka rahsia baharu, menjadikan pengalaman tontonan terasa padat dan mencengkam.
Lakonan memukau
Dari sudut lakonan, Jun Lojong mencuri perhatian sebagai Maria Hadi. Persembahan diberi bukan hanya menakutkan, tetapi menyayat hati.
Wajahnya memancarkan trauma, gerak tubuh sarat beban dosa. Dia tidak meletakkan rasa pada kejahatan sahaja tetapi manusia yang tenggelam dalam pilihan sendiri.
Mimi Lana pula memberikan transformasi emosi menyakinkan, daripada skeptikal kepada ketakutan mutlak dan organik.
Sokongan pelakon seperti Nam Ron dan Nadiya Nisaa mengukuhkan naratif. Tiada watak ‘kosong’, setiap satu hadir dengan motivasi, menjadikan dunia filem tersebut berdenyut realisme.
Secara visual, sinematografi garapan Saifuddin Musa menjadi nadi kepada suasana gelap, malah tona warna dingin, pencahayaan rendah serta sudut kamera ‘mengintai’ mencipta rasa tidak selesa berpanjangan. Penonton seakan-akan diperhatikan, satu pengalaman psikologi yang mengganggu.

MIMI Lana sebagai wartawan jenayah yang terjebak sisi mistik sehingga menyesakkan nafasnya.
Produksi berkualiti
Reka bentuk produksi pula teliti, membina latar awal 2000-an dengan tekstur realistik. Persekitaran tampak lusuh, kotor dan setiap ruang seperti hidup menjadi sebahagian daripada naratif.
Kesan khas mekap dan visual tidak berkompromi. Adegan ritual dipaparkan berani, kasar dan menjijikkan, memperlihatkan realiti sebenar ilmu hitam. Di sini, Polong menolak estetika ‘cantik’ dan memilih kejujuran visual.
Aspek bunyi pula menjadi senjata paling halus. Tiada kebergantungan melampau kepada jump scare sebaliknya, bunyi desiran, nafas dan frekuensi rendah merayap perlahan ke dalam jiwa penonton.
Skor muzik oleh Reinchez Ng menambah lapisan dramatik. Gabungan elemen tradisional dan orkestra moden mencipta suasana ‘gila’, indah tetapi menakutkan.
Bagi penulis, di sebalik seram, filem tersebut sebenarnya berbicara tentang penyesalan, dosa dan trauma warisan.
Zulkarnain bukan hanya mahu menakutkan, tetapi mengajak penonton merenung bagaimana satu kesilapan mampu menghantui generasi.
Meskipun hampir semuanya sempurna, naskhah tersebut juga tidak terlepas daripada kelemahan.
Rentak pertengahan sedikit perlahan, terutama apabila fokus beralih kepada penyiasatan. Bagi sesetengah penonton, bahagian ini mungkin terasa panjang.
Tetapi di situlah keberanian filem ini terserlah, memilih untuk membina asas emosi daripada sekadar menyuap kejutan kosong. – HIBGLAM
