PELAKON Reen Rahim menganggap perbuatan seorang peminat yang melemparkan tuduhan, kononnya dia artis yang sombong adalah keterlaluan dan biadab.
Reen atau nama penuhnya, Noreen Ashikin Abd. Rahim berkata, artis bukanlah hamba abdi peminat, jadi tidak sewajarnya seseorang artis ditegur secara tidak beradab apatah lagi disindir dengan dakwaan melulu dalam akaun media sosial miliknya.
“Kau ingat artis ini hamba abdi ke? Aku pantang betul kena sergah begini.
“Kalau masuk rumah (media sosial) aku, cuba bawa adab sikit.
“Aku jarang melayan. Selalu sekat sahaja tetapi kali ini sudah lebih, macam inilah yang artis lain selalu kena tu ya?” katanya.
Pelakon Pujaan Hati Kanda itu juga meluahkan rasa kesal apabila terdapat pihak menyindir dan melabelnya sebagai selebriti sombong sedangkan artis juga manusia biasa.
Tambahnya, dia bukan seperti selebriti lain yang memohon maaf walaupun kesalahan tersebut bukan berpunca daripada pihaknya.
“Ingat aku ibu kau ke nak layan sampai makan pun tak boleh.
“Mungkin artis lain kena macam-macam, salah atau tidak mereka akan minta maaf untuk menjaga nama.
“Dengan aku silaplah ya, kalau kau datang elok, 10 kali lebih baik aku sambut.
“Sekiranya hadir dengan cara salah, 1,000 kali lebih teruk aku beri sebab artis juga manusia,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, pelakon berusia 35 itu turut memuat naik tangkap layar komen negatif daripada seorang individu yang kesal kerana tidak dapat bergambar dengannya.
Tuduhan tersebut tercetus kerana Reen tidak berada di ‘booth’ jualan di sebuah acara di Melaka dalam tempoh yang lama sehingga dikatakan mengelak untuk melayan peminat.