Lama ingin bekerjasama dengan komposer handalan Indonesia Andi Rianto, akhirnya impian penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terlaksana menerusi lagu Menjaga Cintamu yang merupakan runut bunyi (OST) filem Anwar, The Untold Story.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin berkata, lagu tersebut menggambarkan perjuangan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan secara amnya untuk wanita yang setia dalam mencintai pasangan mereka.
“Saya terima tawaran untuk menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini serta tertarik dengan mesej kesetiaan wanita itu.
“Saya juga memahami lagu dan lirik Menjaga Cintamu ini menceritakan mengenai kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita. Kebetulan juga saya memang dalam fasa menerbitkan album terbaharu,” katanya.
Berkongsi pengalaman di studio, kata Siti, 45, proses rakaman lagu Menjaga Cintamu berlangsung selama sejam dan Andi sendiri yang menjaga vokal dan menerbitkannya.
“Satu pengalaman baru dan saya akui gementar kerana pertama kali bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya.
“Saya juga berdepan dengan cabaran untuk menyampaikan lagu Menjaga Cintamu di studio kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus Covid-19. Saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan lagu itu dengan baik.
“Proses rakaman di buat di Malaysia iaitu di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito,” katanya.
Ditanya perbezaan bekerjasama dengan komposer Indonesia seperti Andi, kata Siti, setiap kali masuk studio, pengalaman adalah satu yang sangat berharga.
“Saya bersyukur kerana sering menyanyikan lagu-lagu daripada komposer Indonesia dan sedikit sebanyak, saya sudah memahami cara mereka bekerja. Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik daripada penyanyi, begitu juga dengan Andi.
“Saya juga merakamkan lagu ini selama sejam dan Andi juga terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih. Namun, lagu Menjaga Cintamu memang senang masuk ke dalam hati dan dapat saya nyanyikan dalam tempoh tidak begitu lama,” katanya.
Filem Anwar, The Untold Story yang mengangkat kisah ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjengah pawagam seluruh tanah air pada Mei nanti.
Filem tersebut mendapat sentuhan pengarah Indonesia, Viva Westi dan terbitan Bianglala Entertainment.
Filem yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta ini menampilkan barisan pelakon terkenal dari Malaysia dan Indonesia seperti Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Menjaga Cintamu merupakan lagu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara. – KOSMO! ONLINE