Cabaran gaya lelaki moden

SAMA ada kita akui atau tidak, pakaian lelaki moden atau kontemporari merupakan salah satu cara komunikasi individualiti.

Perubahan gaya dan sikap pengguna lelaki telah mendorong mereka mengambil langkah untuk mengelak daripada terlalu selaras atau mengikut peraturan.

Mematuhi manual undang undang gaya secara total sememangnya bukan kaedah untuk menjadi stylish (penuh gaya).

Pakaian kontemporari memberi peluang kepada lelaki untuk menyerlahkan individualiti. Kini, ia menjadi satu kemewahan paling berharga yang boleh dimiliki semua.

Era ini sesiapa pun boleh memakai apa jua pakaian yang mereka inginkan.

Di era ini, rekaan pakaian kontemporari lelaki adalah lebih mencabar, pelbagai dan membuatkan pemakainya teruja.

Dahulu, imej lelaki berkemeja dan bertali leher mewakili golongan profesional atau korporat, sementara jean dengan kemeja-T bagi golongan muda dan remaja. Namun kini, sesiapa pun boleh memakai apa jua pakaian yang mereka inginkan.

Jika lelaki memilih untuk memakai sut, itu adalah kehendak mereka sendiri. Kita dapat lihat di sekeliling, ramai lelaki berpakaian dengan gaya individu tersendiri dan mereka mahukan gabungan pakaian yang dapat menyerlahkan lagi gaya, identiti dan keperibadian.

Pilihan pakaian yang ada di pasaran sangat besar, serta tiada batasan dari segi bentuk, gaya dan warna.

Namun, perlu diingat, apabila mengayakan sesuatu pakaian serta padanannya, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan (the whole look).

SESIAPA sahaja boleh mengenakan pakaian diingini termasuk kemeja dan kot.

Sememangnya, lelaki kini tidak mahu lagi menjadi kumpulan jantina yang kurang menarik. Lelaki kini menghias diri seperti ‘merak jantan’ yang lengkap dengan pembentukan imej lebih sempurna dan berketerampilan.

Ini membolehkan mereka lebih yakin dan kelihatan hebat apabila dipandang majikan, teman sekerja atau isteri.

Padanan pakaian

Padanan pakaian dan aksesori anda mungkin daripada jenama hebat. Namun paling penting, adakah ia sesuai dipadankan di antara satu sama lain?

Berpakaian penuh gaya (stylish) dapat dicapai jika kita tahu menata gaya secara keseluruhan (overall effect).

Bijak memadankan rekaan pakaian dan aksesori yang selesa dipakai akan menyerlahkan lagi gaya si pemakai.

Utamakan mutu

Untuk memiliki keterampilan yang hebat, anda tidak perlu sentiasa berpakaian mahal. Paling penting, anda mempunyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian. Utamakan mutu, potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni serta klasik. Mahal atau murah sesuatu yang subjektif.

Anda tidak perlu keliru apabila memperkatakan tentang aliran fesyen terkini. Lelaki perlu bijak mengambil inisiatif untuk bereksperimentasi. Antaranya dengan memadankan pilihan rekaan pakaian dan aksesori yang selesa dipakai serta menarik pandangan orang melihatnya.

MEMAKAI sut dengan sneakers bukan lagi satu kesalahan dalam berfesyen.

Budaya

Pilihlah rekaan yang sesuai dengan budaya kita, selagi tidak keterlaluan. Kita boleh mengambil inspirasi daripada gaya, rekaan atau apa sahaja yang dipaparkan di dalam majalah-majalah. Namun, kita perlu sesuaikan dengan keadaan diri kita seperti potongan badan, ketinggian serta warna kulit. Paling penting anda bijak bereksperimentasi.

Kepuasan diri

Gaya lelaki kontemporari bukan hanya bergaya head to toe dengan fesyen berjenama. Malah, ia mengenai cara kita menyerlahkan ekspresi diri atau personaliti melalui pakaian digayakan.

Kita perlu tahu rekaan apa yang paling sesuai serta kebijaksanaan menyuai padan pakaian dan aksesori dengan cara sofistikated. Perlu diingat, kita bergaya untuk kepuasan diri sendiri. – K2 KOSMO!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok