SELEBRITI popular, Daiyan Trisha tetap bersuara demi membela nasib rakyat Palestin meskipun menyedari kelantangannya bakal merisikokan kontrak bersama jenama gergasi antarabangsa.
Kata pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu, kelantangan berkongsi isu kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza lebih utama berbanding memikirkan tawaran yang mungkin terjejas.
Assalamualaikum, mungkin hantaran ini akan memberi kesan terhadap hubungan kerja saya dengan jenama antarabangsa, tetapi apabila tiba masanya untuk saya berdiri teguh atas prinsip, saya tidak boleh berdiam diri.
“Rezeki ada di mana-mana dan Allah memberi saya kejayaan dan kebahagiaan yang tidak pernah saya bayangkan selama ini. Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Aktres berusia 30 tahun itu menegaskan, dia akan terus berjuang bagi menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin demi membantu umat Islam di Gaza yang mempertaruhkan nyawa demi tanah air mereka.
Saya tak akan pernah berdiam diri dan membelakangkan agama saya, kepercayaan saya dan paling utama, saudara seagama saya di Gaza yang kini bertarung nyawa, dibunuh, diperlakukan dengan sangat kejam dan dirampas segala hak kemanusiaan mereka.
“Mereka didiamkan, sementara dunia disuap propaganda Zionis yang sudah terang lagi bersuluh menyajikan sebuah penipuan tidak masuk akal.
“Selama ini saya kerap bersuara, dan saya tidak akan berhenti di sini hanya kerana saya mulai diktiraf di persada yang berbeza malah saya akan bersuara dengan lebih lantang, dunia sudah makin hampir di saat-saat akhir,” katanya.
Dalam hantaran sama, pelakon drama W: Two World itu juga menyalurkan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia selain menyeru orang ramai turut bersedekah.
Sedekah, doa, percaya, lantang, berani. Mudah-mudahan kita semua sentiasa diberkati, dilindungi, dikasihi oleh Yang Maha Satu, Yang Maha Agung.
“Semua untuk-Nya, bermula dari-Nya. Dan akan berakhir dengan-Nya jua,” tulisnya dalam hantaran panjang lebar itu.
Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang.
Selain Daiyan, ramai golongan selebriti yang turut lantang mempertahankan Palestin seperti Datuk Sri Siti Nurhaliza, Neelofa, Zulin Aziz dan ramai lagi. – HIBGLAM