1
PERNAH dianggap sebagai beban oleh pengurusan terdahulu, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha menjadikan kata-kata tersebut sebagai titik tolak untuk bangkit membina empayar sendiri.
Tanpa mendedahkan identiti secara terang-terangan, Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, mengakui kenyataan pedih daripada pengurusan lama masih segar dalam ingatan.
“Tidak mengapa kalau awak tidak mahu kami uruskan lagi, sekurang-kurangnya kurang sedikit beban kami.
“Itulah antara ayat paling menyakitkan pernah saya terima,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon drama Projek High Council itu, gelaran beban tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi pembakar jiwa untuk membuktikan kemampuan diri tanpa bergantung kepada sesiapa.
“Beban itu akhirnya mampu menjana jutaan ringgit dengan menguruskan diri sendiri.
“Saya bina pasukan sendiri dan urus kerjaya mengikut cara saya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dibuat sebagai respons terhadap soalan seorang individu mengenai kata-kata paling menyakitkan pernah diterima, sekali gus membuka sisi luka pernah disembunyikan.
Bagaimanapun, di sebalik kisah pahit tersebut, ramai netizen melihat perjalanan pelantun lagu Penat itu sebagai inspirasi tentang kekuatan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.
“Kadang-kadang benih yang baik perlukan tanah yang subur untuk tumbuh. Tanah tidak sesuai tidak akan membantu. Jadi kenapa dia nak anggap awak beban sedangkan dia yang tidak membantu.
“Bangkit lebih kuat, bukti terbaik adalah kejayaan sekarang.
“Dari beban jadi berlian, itu definisi sebenar ‘glow up’,” tulis beberapa netizen.
Tidak kurang juga ada segelintir individu memberi pandangan berbeza, namun majoriti tetap memuji keberanian Daiyan mengubah nasib dan berdiri atas kaki sendiri. – HIBGLAM
