Konsert Peterpan canggung tanpa vokal Ariel

SELEPAS hampir dua dekad tidak melunaskan persembahan di Malaysia, kumpulan muzik terkenal Indonesia Peterpan kembali ke sini untuk bertemu peminat mereka menerusi konsert The Journey Continues: Peterpan Semua Tentang Kita yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Namun, kehadiran Peterpan kali ini tidak bersama vokalis asal mereka iaitu Ariel yang sedang berehat daripada membuat sebarang persembahan.

Maka hanya Reza, Lukman, Andika dan Indra sahaja yang membuat persembahan sambil ditemani lima vokalis jemputan iaitu Marcello, Rony, Arda, Tantri dan penyanyi dari Malaysia — Hael Husaini.

Biarpun tanpa kehadiran Ariel, lebih 2,000 peminat setia Peterpan muncul tanda sokongan terhadap band kesayangan mereka.

Konsert pada malam itu dibuka dengan persembahan vokalis pertama iaitu Marcello yang sebelum ini baru sahaja membuat konsert di Malaysia bersama Dewa 19.

MARCELLO teruja dan berbesar hati terpilih menjayakan persembahan bersama Peterpan di Malaysia.

Marcello membuka pentas dengan penuh energi menyampaikan lagu Taman Langit, Khayalan Tingkat Tinggi, Di Atas Normal dan Topeng.

Menurut Mercello, lagu Topeng membuatkan dia mula jatuh cinta dengan Peterpan yang disifatkannya sebagai kumpulan legenda.

“Saya gembira kerana terpilih sebagai antara vokalis untuk menyanyi bersama Peterpan selepas 18 tahun mereka tidak membuat konsert sebagai Peterpan di Malaysia.

Siapa sahaja yang tidak tahu lagu-lagu Peterpan. Kita semua mendewasa bersama lagu-lagu mereka. karya mereka berkait dengan kehidupan kita,” katanya.

Sebelum meninggalkan pentas, Marcello sempat berduet bersama vokalis kedua iaitu Rony menerusi lagu Ada Apa Denganmu.

Rony meneruskan konsert dengan lagu Yang Terdalam dan Masa Lalu Tertinggal.

Seterusnya, pentas diambil alih oleh penyanyi dan komposer terkenal tempatan iaitu Hael Husaini. Dia merupakan satu-satunya penyanyi dari Malaysia yang diundang untuk menjayakan konsert ini.

HAEL Husaini bersama gitaris Peterpan, Lukman.

Hael memulakan persembahan dengan lagu Menunggumu secara duet bersama seorang lagi penyanyi jemputan iaitu Tantri dari kumpulan Kotak.

Gitaris Peterpan iaitu Lukman menyifatkan Hael sebagai antara penyanyi dan komposer terbaik di Malaysia.

Sementara itu Hael pula meluahkan rasa teruja dapat membuat persembahan bersama kumpulan terbabit.

“Saya membesar mendengar lagu-lagu mereka. Saya sangat teruja dan gementar dalam masa yang sama.

Apabila saya berada di atas pentas ini, saya rasa diri saya sangat kecil sebab Peterpan adalah sebuah kumpulan legenda yang sangat kita agungkan,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Jauh Mimpiku dan Aku Dan Bintang.

Antara yang menarik perhatian dalam konsert ini adalah penampilan pasangan suami isteri iaitu Tantri dari kumpulan Kotak dan Arda dari kumpulan Naff.

Arda menyampaikan dua buah lagu secara solo iaitu Kita Tertawa dan Mungkin Nanti. Dia turut berduet bersama isterinya menerusi lagu Ku Katakan Dengan Indah.

VOKALI Kotak iaitu Tantri turut memeriahkan konsert The Journey Continues: Peterpan Semua Tentang Kita sebagai artis jemputan.

Konsert kemudian diteruskan dengan persembahan Tantri yang memukau penonton menerusi lagu Sahabat, Bintang Di Surga dan Dibelakangku.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan persembahan semua artis yang terlibat mendendangkan lagu Semua Tentang Kita.

Pada hemat penulis, kesemua vokalis yang dipilih mempunyai kehebatan tersendiri. Namun, satu hal yang disedari pada malam itu adalah, lagu nyanyian Ariel hanya enak didendangkan oleh Ariel sendiri. Seolah-olah lagu-lagu tersebut diciptakan khas untuk vokalnya.

Vokal penyanyi-penyanyi yang dipilih untuk konsert ini mungkin terlalu ‘keras’ untuk lagu-lagu Peterpan.

Pemilihan penyanyi yang tepat sangat penting terutamanya untuk sebuah konsert besar. DNA Ariel terlalu kuat dalam setiap lagu Peterpan. Setidaknya, penganjur harus memilih vokalis yang mempunyai ton suara yang sama seperti vokalis asal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok