TANGGAL 19 dan 20 November lalu menyaksikan satu lagi fenomena muzik rock apabila kumpulan legenda dari Amerika Syarikat (AS), My Chemical Romance (MCR), berjaya menghimpunkan hampir 130,000 peminat menerusi konsert My Chemical Romance: Southeast Asia 2026 in Kuala Lumpur di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kembali menggegarkan pentas Malaysia selepas 19 tahun, MCR yang dianggotai Gerard Way, Mikey Way, Frank Iero dan Ray Toro membuktikan pengaruh serta legasi yang dibina sejak kemunculan sulung pada 2002 masih utuh.
Malam pertama konsert menyaksikan kehadiran 62,000 penonton, manakala persembahan malam kedua menghimpunkan 68,000 peminat, sekali gus membuktikan populariti kumpulan yang cukup sinonim dengan imej fesyen emo dan gothik itu masih berbisa di negara ini.
Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata keterujaan peminat yang akhirnya berpeluang menyaksikan kumpulan kesayangan mereka beraksi secara langsung selepas hampir dua dekad menanti.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, kepulangan MCR menjadi momen penuh nostalgia yang mengimbau kembali era kegemilangan muzik emo, selain membuktikan karya mereka masih dekat di hati peminat.
Penulis sendiri mengakui masih terperangkap dalam euforia konsert, namun dalam masa sama sudah mula merindui detik yang berlalu begitu pantas.

GERARD Way membuktikan bahawa usia yang hampir mencecah separuh abad bukan penghalang untuk terus menghamburkan tenaga di atas pentas apabila vokal bertenaga, karisma dan penguasaannya terhadap pentas masih utuh seperti dahulu. – PHOTO TC GOH
Senang cerita, masih terbelenggu dengan fenomena post-concert depression (PCD) atau kemurungan pascakonsert yang lazimnya dialami peminat selepas menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka, apatah lagi apabila pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam.
Masih segar dalam ingatan, Gerard tampil dengan solekan dakwat hitam di sekitar mulut, menyerlahkan penampilan dramatik seolah-olah dirasuk, selari dengan konsep gelap era The Black Parade.
Seakan-akan masih terasa bahang api yang menyambar pentas, diiringi peluh yang menitik ketika lagu Mama bergema, menghidupkan kembali memori malam penuh magis itu.
Penulis yang berkesempatan menghadiri kedua-dua malam persembahan mendapati aura dan tenaga MCR kekal konsisten, malah tidak pernah mengecewakan peminat yang hadir dengan harapan tinggi.
Kasut merah ‘terbang’
Di sebalik persembahan penuh dramatik, Gerard turut memperlihatkan sisi bersahaja menerusi tindak-tanduknya yang nonchalant, meskipun elemen teatrikal tetap menjadi sebahagian daripada identiti persembahannya.
Pada malam pertama, satu insiden tidak dijangka mencuri perhatian apabila sepasang kasut Converse berwarna merah dilontarkan ke atas pentas ketika Gerard sedang membuat persembahan.
Tindakan penonton berkenaan bagaimanapun tidak mencetuskan ketegangan apabila penyanyi itu memberikan reaksi berseloroh selepas mengambil kasut terbabit.
“Macam mana kamu nak balik tanpa kasut itu? Lagipun, kasut ini bukan saiz saya!” katanya.
BUKAN sekadar muzik ‘keras’, MCR turut menghidangkan persembahan penuh karakter menerusi kemunculan Nurse Sylvia yang melantunkan karisma vokal opera. — TC GOH
Reaksi spontan tersebut mengundang perhatian peminat yang menyaksikan insiden berkenaan, sekali gus menambah satu lagi momen luar jangka sepanjang persembahan malam itu.
Di sebalik gelagat bersahaja itu, Gerard turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang tetap hadir memberikan sokongan meskipun konsert berkenaan terpaksa dijadualkan semula daripada tarikh asal.
“Saya tahu konsert ini dijadualkan semula, tetapi terima kasih kerana tetap hadir malam ini. Terima kasih kerana begitu lama menantikan kami,” katanya.
MCR nyata tidak menghampakan penonton apabila menyajikan seleksi lagu popular yang cukup mengimbau nostalgia, selain memenuhi penantian peminat menerusi deretan karya daripada beberapa album mereka.
Hampir keseluruhan lagu yang dipersembahkan mendapat sambutan hangat, membuktikan setiap satunya masih dekat di hati peminat meskipun ada yang sudah berusia lebih dua dekad.
Daripada trek ‘deep cut’, Our Lady of Sorrows yang dipetik daripada album sulung, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love, hinggalah Na Na Na daripada album Danger Days: The True Lives of the Fabulous Killjoys, MCR membawa penonton menyusuri perjalanan muzik mereka sejak awal kemunculan.

PENAMPILAN pentas turut diserikan dengan kemunculan The Eye, prop bebola mata robotik gergasi yang terapung di udara, sekali gus menambahkan elemen surreal dan dramatik.
Lebih istimewa, kumpulan itu turut menyimpang daripada kebiasaan apabila Demolition Lovers, yang jarang dipersembahkan secara langsung, berkumandang sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat tegar.
Sementara itu, pada malam kedua, satu lagi lagu yang cukup dinantikan peminat, The Ghost of You, bagaimanapun tidak tersenarai dalam seleksi persembahan MCR.
Namun, ketiadaan lagu yang dipetik daripada album Three Cheers for Sweet Revenge (2004) itu tidak sedikit pun mencalarkan keterujaan Killjoys apabila kumpulan berkenaan tetap menghadiahkan persembahan bertenaga sepanjang dua malam konsert berlangsung.
40 peratus penonton warga asing
Di sebalik fenomena muzik yang menghimpunkan selautan penonton sepanjang dua malam, penganjuran konsert berkenaan turut memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Kehadiran penonton dari luar negara yang membentuk kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan penonton membuktikan acara hiburan berskala antarabangsa berupaya menjadi antara tarikan pelancongan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi negara.
Perkara itu turut diakui Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang menyifatkan penganjuran konsert sedemikian mampu memberi limpahan ekonomi menerusi perbelanjaan pengunjung untuk penginapan, pengangkutan dan keperluan lain sepanjang berada di negara ini.
Beliau berkata, konsert berkenaan turut menerima manfaat menerusi insentif Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI) yang disediakan Kementerian Komunikasi bagi menggalakkan penganjuran acara berskala besar di Malaysia.
“Saya difahamkan 40 peratus penonton yang hadir malam ini adalah warga asing. Apabila mereka membeli tiket dan datang menyaksikan konsert, ia memberikan kesan baik kepada ekonomi apabila mereka turut mendapatkan penginapan, menyewa kereta dan sebagainya.
“Kementerian Komunikasi menyediakan insentif iaitu Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI) dan konsert My Chemical Romance adalah antara penerimanya,” katanya ketika menghadiri konsert hari pertama kumpulan berkenaan.

DUA malam dengan kapasiti penonton seramai 130,000, konsert MCR di Kuala Lumpur merupakan antara yang paling berjaya sepanjang tahun 2026.
Hello Universe
Di sebalik kejayaan luar biasa tersebut, ada sebuah perjalanan panjang yang wajar diberikan penghargaan.
Hello Universe, penganjur yang membawa impian menyaksikan MCR kembali ke Malaysia, akhirnya menyaksikan penantian dan segala cabaran sepanjang hampir 18 bulan membuahkan hasil.
Bermula dengan pengumuman konsert, sambutan luar biasa ketika penjualan tiket, sehinggalah berdepan penangguhan serta pelbagai cabaran penganjuran, usaha membawa MCR ke Kuala Lumpur bukan kepalang.
Bagi puluhan ribu peminat yang setia menunggu, dua malam berkenaan lebih daripada sekadar sebuah konsert. Ia merupakan pertemuan semula dengan muzik yang membesar bersama mereka, kenangan zaman remaja dan impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
Di sebalik hampir 130,000 suara yang bergema di Bukit Jalil, ada satu nama yang tidak harus dilupakan iaitu penganjur Hello Universe.
Kejayaan penganjuran konsert berkenaan turut membuktikan Malaysia bukan sekadar persinggahan dalam peta jelajah artis antarabangsa, sebaliknya berpotensi menjadi destinasi penting bagi persembahan bertaraf dunia.
Kehebatan persembahan MCR kali ini menjanjikan sebuah pengalaman yang sukar dipadam daripada ingatan. Terima kasih.


