‘Tunggu hari, bila-bila masa sahaja Amira boleh bersalin’

BAKAL menyambut kelahiran cahaya mata dalam masa terdekat, pelakon Fattah Amin mengehadkan komitmen kerjaya dengan tidak mengambil tawaran kerja di luar kawasan Lembah Klang.

Tindakan tersebut diambil pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, sebagai langkah bersiap sedia sekiranya isterinya yang juga penyanyi Amira Othman menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin yang dijangka pada bulan ini.

“Ya, buat masa sekarang ini memang kena elakkan ambil sebarang komitmen kerja yang menuntut saya keluar dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Ada satu kerja yang sudah sah pada bulan hadapan tapi dalam Selangor sahaja sebab sekarang ini memang sedang bersedia untuk pergi ke hospital. Amira bila-bila sahaja akan bersalin.

“Kalau tidak, dia mahu ikut saya main pickleball sebab dia pun duta Urtv dan Amber. Namun, dia sedang sarat dan saya risau dengan keadaannya kalau ikut,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semasa acara Allstars Picklebash 2.0, semalam.

Disoal mengenai persiapan, bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memaklumkan segala kelengkapan untuk bayi dan ibu sudah diuruskan dengan rapi.

“Alhamdulillah, segala persiapan ibu dan bayi sudah siap sepenuhnya. Semua barang itu sudah letak dalam kereta.

Tunggu nak bawa terus ke hospital. Doktor beritahu bila-bila masa sahaja boleh bersalin,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fattah memilih untuk mengunci mulut mengenai jantina bayi mereka buat masa ini dan memohon orang ramai agar mendoakan urusan kelahiran anaknya berjalan lancar.

“Jantina sudah pasti kami berdua sudah tahu, cuma tidak akan maklumkan sekarang. Tunggu sehingga selamat melahirkan nanti.

“Saya minta doa daripada semua pihak supaya Amira bersalin dengan selamat dan dipermudahkan, insya-Allah.

Saya agak gemuruh juga sebenarnya nak menyambut anak kami ini. Lain orang, lain pengalamannya, saya hanya minta ibu dan anak nanti selamat,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Amira mengesahkan dirinya hamil selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri daripada mengulas khabar angin mengenai perubahan fizikalnya.

Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 yang bertepatan dengan ulang tahun kelahiran ke-35 aktor itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok