BELUM selesai, prosiding komital membabitkan penyanyi Nubhan dan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, ditangguhkan selepas pihak pemohon didakwa belum menyempurnakan prosedur diperlukan mahkamah.
Peguam mewakili Dr. Afifah atau Dr. Fie, Nor Hazura Hamzah berkata, prosiding yang sepatutnya berlangsung hari ini adalah membabitkan sesi soal balas terhadap anak guamnya oleh peguam pihak pemohon.
Begitupun, katanya, prosiding berkenaan tidak dapat diteruskan selepas pihak terbabit tidak menyempurnakan beberapa prosedur yang perlu diikuti.
Sepatutnya hari ini adalah untuk siasatan ataupun perbicaraan, termasuk sesi soal balas Dr. Fie oleh peguam pihak pemohon iaitu peguam Nubhan.
“Cuma, pihak sana masih belum menyempurnakan prosedur yang sepatutnya dibuat, jadi perbicaraan hari ini tidak dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, d, hari ini.
Nur Hazura berkata, mahkamah kemudian menetapkan dua tarikh baharu bagi meneruskan prosiding berkenaan iaitu 19 dan 27 Januari tahun hadapan.
Menurutnya, perkara berkenaan membabitkan prosedur yang perlu dipatuhi bagi memastikan prosiding dapat dijalankan dengan sempurna dan sebarang keputusan yang dibuat tidak terjejas pada peringkat seterusnya.
“Perkara ini berkaitan dengan prosedur. Kalau kita teruskan juga, prosedur itu akan menjadi cacat dan menyukarkan proses.
Mungkin apabila diteruskan pada peringkat akan datang, ada rayuan atau semakan. Jadi, apa-apa keputusan tidak boleh diputuskan dengan sempurna,” ujarnya.
Ditanya sama ada penangguhan imungkin berpunca daripada tindakan pihak pemohon yang sengaja melengahkan prosiding, Nur Hazurah berkata, beliau enggan membuat sebarang andaian.
“Saya tidak pasti sama ada sengaja melambatkan atau tidak. Ini kes mereka (Nubhan), mereka adalah pemohon dan kami merupakan responden.
Sepatutnya, kalau mereka sudah menyempurnakan prosedur itu lebih awal, hari ini perbicaraan memang boleh dijalankan.
“Tetapi mereka belum menguruskan perkara yang sepatutnya dibuat, jadi hari ini memang perlu ditangguhkan,” katanya.
Sebelum ini, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, memfailkan prosiding komital terhadap Afifah atas dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Nubhan dan Dr. Fie juga pempengaruh sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember 2025.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – HIBGLAM
