RUANG perdamaian masih dibuka penyanyi Nubhan, pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mempersoalkan permintaan bekas suaminya berhubung keperluan memohon maaf secara terbuka sebagai syarat penyelesaian kes komital difailkan terhadapnya.
Dr. Afifah atau Dr Fie berkata, 36, menegaskan sudah beberapa kali memohon maaf kepada Nubhan secara peribadi selepas mereka bercerai sekali gus tidak melihat keperluan untuk mengulangi perkara sama kepada umum.
“Bukan tiada keperluan, saya boleh nak minta maaf tapi hari raya saya dah minta maaf, hari jadi pun saya buat benda sama. Jadi dia nak permintaan maaf macam mana lagi? Atas dasar apa?
“Kalau saya minta maaf, orang luar boleh buat spekulasi macam-macam, seolah-olah saya yang bersalah.
“Saya dah banyak kali minta maaf selepas bercerai. ‘Maafkan saya, maafkan saya’. Berapa banyak kali saya nak minta maaf?” katanya selepas prosiding kedua kes komital difailkan Nubhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan menyelesaikan kemelut mereka di luar mahkamah, Dr Fiee berkata setakat ini tiada perbincangan peribadi berlaku di antara mereka.
“Tiada berhubung. Kami hanya berkomunikasi melalui staf atau peguam. Setakat ini pun tiada (perbincangan antara peguam) yang memaklumkan kalau saya minta maaf, kes ini boleh diselesaikan di luar,” ujarnya.
Pada masa sama ibu kepada tiga anak itu membuka hati dan memberinya ruang untuk meneruskan kehidupan demi kebaikan semua pihak, terutama zuriat kami.
“Saya harap dan minta doa orang ramai untuk dia berlembut hati dengan saya. Biar saya teruskan kehidupan. Dia pun boleh meneruskan kehidupan. Saya pun tak nak ganggu dia.
“Saya tak boleh nak bolak-balikkan hati dia. Hanya Allah yang buat begitu. Saya rayu kepada semua orang di luar sana, jangan trigger dia. Lembutkanlah hati dia untuk saya.
“Kalau ini berlanjutan sampai Januari atau apa-apa, kesianlah dekat anak-anak. Saya pun kena jaga perasaan kerana jika ibu mempunyai mental positif, barulah kita boleh layan anak-anak dengan baik,” ulasnya.
Pada Mei lalu, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 40, mendakwa berlaku tiga pelanggaran terhadap perintah mahkamah membabitkan bekas isterinya.
Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum bercerai kali kedua pada 2 Disember 2025 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4. – HIBGLAM
