BAK kata pepatah, sarang tebuan usah dijolok. Silap hari bulan, terasa bisa sengatannya.
Selepas sekian lama berdiam diri, akhirnya pelakon Fattah Amin berdepan dengan akaun Threads yang menggunakan nama Musang Berjanggut yang sebelum ini dilihat terus-terusan membuat hantaran berbaur provokasi mengenai aktor itu dan mendedahkan maklumat sulit membabitkan dirinya serta keluarga.
Enggan lagi dibuli, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 36, tampil membalas hantaran Musang yang mendakwa dia culas membayar yuran sekolah anaknya iaitu Nur Fatima Aisya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Threads, Fattah menegaskan dia selama ini memilih untuk berdiam diri dan enggan melayan pelbagai dakwaan tidak berasas. Namun, menurutnya, penyebaran naratif yang disifatkan melampaui batas memaksanya mengambil tindakan.
“Saya serius tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini awak cipta. Tapi rasanya naratif yang digunakan dan fitnah yang diada-adakan ini semakin melampau,” tulisnya.

ANTARA tangkap layar fitnah yang dilayangkan Musang Berjanggut kepada Fattah Amin.
Suami kepada Amira Othman itu turut mempersoalkan bagaimana akaun berkenaan memperoleh maklumat yang didakwanya bersifat sulit, termasuk perkara melibatkan dirinya serta ahli keluarga.
Menurut Fattah, maklumat seperti urusan peribadi sepatutnya hanya diketahui pihak tertentu dan bukannya didedahkan kepada umum.
Dalam masa sama, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun tersebut.
Tidak hanya Fattah, Amira turut berkongsi pengalamannya menjejaki individu di sebalik akaun palsu tersebut.
Menurut Amira, ramai yang meminta agar dia dan suami tidak menarik semula laporan yang dibuat terhadap Musang Berjanggut.
“Musang Berjanggut telah memfitnah kami macam-macam, bercakap perkara-perkara yang tidak elok. Saya baca pun seram.
Untuk pengetahuan peminat, kami tidak pernah menarik laporan, kami turun naik buat laporan di SKMM dan PDRM. Malah berjumpa dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil untuk menangani isu ini.
“Kami tak akan tarik laporan sebab kami pun nak tahu siapa Musang yang nampak seperti berselindung di sebalik akaun palsu. Jadi mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa viral, isu ini dapat diselesaikan,” tulisnya.

LEbih setahun berkahwin malah sudah pun mempunyai anak, Fattah dan Amira tidak berhenti menjadi sasaran fitnah segelintir netizen yang seolah-olah tidak boleh ‘move on’ dengan hidup mereka.
Biarpun laporan sudah dibuat untuk mengenal pasti siapa dalangi disebalik akaun Musang Berjanggut, namun kata Amira usaha untuk menjejaki individu tersebut seakan-akan sukar.
“Selagi tidak ada mekanisme yang dicipta untuk selesaikan masalah ini, selagi itulah tak akan selesai dan berleluasa kerana akaun palsu ini tak takut sebab tiada tindakan tegas.
Jadi saya tertanya-tanya apa fungsi SKMM? Hujung-hujung mereka cakap ‘jangan baca’,’ tulisnya.
Kongsinya lagi, pihak peguam tidak dapat mengambil tindakan undang-undang selagi individu di sebalik akaun Musang Berjanggut tidak dikenal pasti.
“Kalau dah kenal pasti siapa siapa individu di sebalik akaun palsu tersebut, baru peguam boleh teruskan tindakan,” kongsinya.
Selepas ditegur oleh Fattah, akaun Musang Berjanggut dilihat sudah pun dinyahaktifkan. Isu sama turut mendapat perhatian ramai termasuklah, pelakon Kamal Adli.
Netizen juga berharap isu ini dapat diselesaikan dengan seadilnya dengan bantuan SKMM dan semoga perkara sebegini tidak terjadi lagi di masa hadapan. Persoalannya, adakah isu ini akan menemui jalan penyelesaian yang sewajarnya? Adakah identiti disebalik akaun Musang Berjanggut akan didedahkan akhirnya? Sama-sama kita nantikan. – HIBGLAM
