‘Saya ada tiga anak, kena jumpa pakar terapi…’ 

MAHU bangkit sebagai wanita serta ibu yang kuat semangat, penyanyi Kaka Azraff pernah mendapatkan bantuan pakar terapi ketika melalui fasa sukar sekitar dua tahun lalu.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 37, berkata, keputusan mendapatkan khidmat profesional itu dilakukan atas kehendak sendiri ketika berdepan kemelut rumah tangga yang memberi kesan terhadap emosinya.

“Waktu itu saya ‘down’, hanya menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Dunia saya seperti terhenti.
Saya rasa macam wanita kurang bersyukur kerana itu yang ‘disuapkan’ kepada saya.

Tapi saya katakan pada diri, saya punya tiga anak. Kalau saya tak berfungsi macam mana mereka? Jadi saya saya putuskan jumpa terapi minta bantuan. Itu ketika bulan puasa dua tahun.

“Keluarga saya tak tahu mengenai perkara ini tetapi kawan baik saya, Shalma Ainaa tahu. Saya pergi terapi sebanyak tiga kali, alhamdulillah semangat saya kembali pulih,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, semalam.

Ibu tunggal kepada zuriat itu mengakui sebelum ini dirinya terlalu mengutamakan anak-anak sehingga sanggup meletakkan kepentingan diri sendiri di tempat terakhir.

Namun, selepas mendapatkan pandangan pakar, dia mula menyedari pendekatan tersebut tidak sihat kerana seorang ibu juga perlu menjaga diri sendiri sebelum mampu memberikan yang terbaik buat anak-anak.

“Bila jumpa pakar terapi itu, dia nasihatkan untuk ubah gaya hidup. Kena sihat selain mendapatkan tidur yang cukup.

“Dulu ketika saya berada dalam fasa sedih itu, saya hanya berfikir tentang anak, tidak pernah fikir mengenai diri sendiri.

Saya sedar perkara itu tidak sihat dan sebenarnya kita kena sayang diri kita dahulu agar kita mampu bangkit. Itu yang saya belajar,” ujarnya.

Pada masa sama, Kaka berkata, nyanyian menjadi antara medium penting yang membantunya mengurus emosi dan perlahan-lahan keluar daripada kesedihan yang membelenggu diri.

“Saya suka menyanyi sebab itulah tempat untuk saya menyalurkan apa yang saya rasa selain ketika bersendirian.

Apabila saya menyanyi, saya rasa macam keluar sekejap daripada zon kurang selesa serta kemurungan,” katanya.

Terdahulu, Kaka dan bekas suaminya, Adam Azriff disahkan bercerai kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Jun lalu.

Pasangan terbabit pernah berpisah pada Oktober 2024 sebelum kembali rujuk pada awal 2025 ketika masih dalam tempoh idah.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok