KISAH peribadi termasuk identiti kenalan lelaki rapat mula menjadi bualan, pelakon Tracie Sinidol mengakui tidak pernah berniat menyembunyikan apa-apa, sebaliknya memilih menjaga batas demi melindungi kehidupan peribadi daripada tatapan umum.
Ujar Tracie, 25, keterbukaan tetap ada, namun tidak semua perkara perlu dijadikan santapan khalayak.
“Sejujurnya, saya tidak pernah berniat untuk menyembunyikan apa-apa daripada peminat.
“Cuma saya lebih berhati-hati apabila berkongsi tentang kehidupan peribadi.
“Bagi saya, bukan semua perkara perlu dihebahkan. Yang tahu, tahulah. Kalau mahu diwar-warkan, itu memang tidak. Tetapi saya tidak sorok apa-apa,” katanya kepada HibGlam.
Menurut juara Dewi Remaja 2022 itu, dia sememangnya seorang yang cukup menjaga privasi keluarga, malah tidak pernah berkongsi foto insan tersayang dalam media sosial.
Saya memang jenis suka simpan kisah peribadi.
“Kalau perasan, saya tidak pernah kongsi gambar keluarga.
“Saya mahu melindungi orang yang saya sayang supaya tidak terdedah kepada dunia luar kerana mereka juga menghargai privasi,” ujarnya pada sesi temu bual bersama barisan pelakon drama Dendam Seorang Mentua, di sini, semalam.
Tambahnya lagi, ibunya sendiri kurang selesa untuk tampil di hadapan kamera, sekali gus menjadi sebab utama dia kekal berpegang pada prinsip tersebut.
“Ibu saya pernah beritahu dia tidak mahu muncul di depan kamera.
“Jadi saya hormat perkara itu dan tidak akan berkongsi apa-apa berkaitan keluarga,” jelasnya.
Mengulas mengenai kemesraan bersama pelakon Hariz Hamdan, Tracie menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada rakan rapat, malah kandungan tular sebelum ini sekadar strategi promosi drama bersama.
“Kami hanya kawan rapat, malah saya berkawan dengan semua orang.
“Saya juga lebih selesa dengan individu yang lebih matang. Video itu tular kerana kami menghasilkan kandungan bersama untuk drama Dendam Seorang Mentua ini.
“Idea pasukan memang menarik dan berjaya tarik perhatian ramai,” kongsinya.
Terdahulu, kemesraan Tracie dan Hariz mencuri perhatian apabila mereka dilihat membuat siaran langsung bagi mempromosikan produk selain saling berbalas panggilan manja, sekali gus mencetuskan spekulasi hubungan istimewa dalam kalangan netizen. – HIBGLAM
